PUTRAJAYA - Meskipun digelar gila talak oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hakikatnya Pas memperoleh kemenangan besar berbanding UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang lalu.
Ujar Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, posisi Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah gagal dimanfaatkan untuk memikat undi masyarakat luar bandar khususnya orang Melayu.
Malah dakwa Ahmad Fadhli, satu-satunya ‘kejayaan paling besar’ Ahmad Zahid adalah menyelamatkan diri dari terus didakwa atas 47 pertuduhan jenayah.
"Sayangnya yang berdegar-degar melaungkan agenda reformasi itulah yang sedang menjulang agenda menyelamatkan Ahmad Zahid," sinis beliau.
Mengambil contoh dari filem Ronin 47 yang mengisahkan sekumpulan samurai yang sanggup berkorban demi harga diri dan maruah, Ahmad Fadhli berkata:
"Benar atau tidak, tunggulah sahaja," katanya.
Beliau berkata, Ahmad Zahid sebagai nakhoda gagal yang sedang membawa kapal karam.
"Sayangnya, anak-anak kapal di sekelilingnya tiada yang berani menegur bahkan hanya berperanan menjadi tukang ampu sedangkan sangat jelas kapal yang sedang dinaiki karam sedikit demi sedikit," katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan usaha agenda perpaduan ummah tidak pernah akan berakhir.
"Pas akan terus berusaha menyelamatkan pemimpin dan ahli UMNO dari terus karam sama ada menyelamatkan kapal atau menjemput mereka menyertai kapal yang lain," katanya.