PENYANYI, pelakon dan pengacara popular, Alif Satar berpendapat rakan seangkatannya, Kaka Azraff tidak perlu bimbang sekiranya kontrak dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia benar-benar ditamatkan lebih awal kerana isu Israel-Palestin.
Tegas pemilik nama penuh Muhammad Alif Mohd Satar itu, setiap artis mempunyai cara tersendiri untuk menyatakan sokongan mereka.
"Apa yang saya boleh katakan, pendirian saya juga sama mengenai sokongan terhadap Palestin. Saya rasa bukan saya seorang tetapi semua rakan artis.
"Jika dia digugurkan daripada perkhidmatannya... hey man ini soal akidah dan iman, jadi tiada yang lebih besar daripada itu.
"Pasti akan ada yang lebih baik, Insya-ALLAH,” katanya yang turut bernaung di bawah syarikat rakaman sama.
Alif berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan 2 di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Malah bintang berusia 33 tahun itu juga tidak sesekali mengubah sokongannya terhadap Palestin
Namun dalam masa yang sama, Alif berpendapat seseorang itu masih perlu mematuhi dan memahami kontrak yang telah dipersetujui.
"Saya jelas dengan pendirian dan sokongan sepenuhnya pada Palestin, tetapi dari sudut profesionalisme, apabila terikat dengan kontrak, kita kena patuh.
"Sebagai manusia pasti akan terfikir dan risau, tetapi kita juga harus menegakkan pendirian sendiri. Takkan tiba-tiba nak ubah pendirian.
"Jika hilang, hilanglah (pekerjaan),” ujarnya.
Terdahulu, nama Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff menjadi perhatian dunia selepas identitinya dikongsikan laman Instagram Jew Hate Database selepas Kaka bertindak meninggalkan komen kepada Nathaniel Buzolic, seorang pelakon Australia pro-Israel.
Dek tindakan itu, kontrak Kaka bersama syarikat rakamannya akan ditamatkan lebih awal iaitu pada 31 Disember ini.
Difahamkan, Kaka akan mengadakan satu sidang media malam ini bagi menjelaskan perkara itu.