Petani lada solok dapat rezeki berganda di musim tengkujuh

Iklan
Muhamad Aiman memetik lada solok jenis Taming Sari di kebunnya yang terletak di Kampung Kuala Tol, Gua Musang . - Foto Bernama

GUA MUSANG - Seorang petani muda di Kampung Kuala Tol, di sini, meraih keuntungan berganda pada musim tengkujuh apabila kira-kira 2,000 pokok lada solok taming sari dan cili kulai yang diusahakannya secara fertigasi, meraih permintaan tinggi daripada pemborong.

Muhamad Aiman Yaacob, 24, berkata, permintaan kebanyakannya datang dari kawasan terjejas banjir.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sejak bermulanya Monsun Timur Laut 11 November lepas, kira-kira 400 kilogram (kg) lada solok taming sari berjaya dituai dan dijual kepada pemborong setiap minggu.

"Saya dapat kelebihan berbanding petani di kawasan Kota Bharu dan Rantau Panjang pada musim tengkujuh ini kerana kawasan ini tidak ditenggelami air. Jadi tiada lambakan sayur-sayuran, malah permintaan pula melonjak menyebabkan harga pasaran pun meningkat.

Iklan

"Tahun ini harga yang dijual kepada pemborong mencecah RM18 sekilogram berbanding harga asal RM10 bagi sekilogram,” katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Muhamad Aiman mengumpulkan hasil tuaian lada solok jenis Taming Sari. - Foto Bernama

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada ahli keluarga yang membantu gerak kerja di kebun. Jangkaan hasil untuk musim ini adalah sehingga empat tan mengikut harga semasa,” katanya yang berkecimpung dalam bidang pertanian sejak 2021.

Iklan

Muhamad Aiman berkata, antara cabaran yang perlu dihadapinya adalah perubahan cuaca dan harga pasaran.

Tahun ini harga cili yang dijual kepada pemborong mencecah RM18 sekilogram berbanding harga asal RM10 bagi sekilogram. - Foto Bernama

Susulan itu beliau sering mendapatkan pandangan pekebun lain yang lebih berpengalaman selain mengikuti kursus dan latihan dianjurkan Jabatan Pertanian Daerah Gua Musang.

Beliau juga menjadikan media sosial sebagai rujukan untuk mengetahui harga pasaran semasa selain mendapatkan informasi daripada pemborong.

Muhamad Aiman menyarankan khususnya kepada anak muda agar tidak ragu-ragu untuk terjun ke bidang pertanian dan membuang tanggapan bahawa ia pekerjaan yang leceh.

"Saya sendiri mendapat ilham untuk bertani setelah melihat kejayaan seorang pengusaha kebun cili. Bermula dari situ timbul perasaan ingin mencuba dan membuat kelainan di kampung ini,” katanya. - Bernama