Polis kesan saksi kes pecah, bakar pondok bayaran parkir

Iklan
Keadaan sebuah pondok bayaran parkir kenderaan di Kuala Nerus yang dibakar pada Selasa lalu.

KUALA NERUS - Polis menjalankan siasatan berhubung kes pecah dan bakar dua pondok bayaran parkir kenderaan di Dataran Rimba Square di sini pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, siasatan itu dijalankan susulan laporan dibuat oleh pengadu di Balai Polis Gong Badak pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Pengadu membuat laporan kira-kira jam 9.15 pagi. Siasatan berhubung kes itu dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api.

Abdul Rahim

"Satu lagi laporan diterima bagi kejadian yang berlaku pada Isnin lalu dan ia disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana memecahkan cermin dan mendatangkan bencana," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Iklan

Menurut Abdul Rahim, pihak polis telah merakam keterangan daripada pengadu dan sedang mengesan saksi kejadian.

"Pihak polis kini mengesan individu yang terlibat dalam kes tersebut dan siasatan berhubung kes itu masih diteruskan," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Abdul Rahim menasihati orang ramai supaya tidak bertindak sendiri sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara.

Katanya, mereka yang didapati melanggar undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam berdepan tindakan tegas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pondok bayaran parkir kenderaan yang diselia oleh sebuah syarikat swasta yang mendapat tender di bawah Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dirosakkan dengan cara dibakar dan dipecahkan dalam kejadian berasingan.

Kedua-dua pondok bayaran parkir kenderaan itu dirosakkan dalam tempoh tidak sampai 24 jam pada 4 dan 5 Disember lalu.