PONTIAN - Penderitaan Mohd Syukri Johan, 10, yang menderita kanser mata mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Pasaraya Econsave yang bercadang mahu melancarkan tabung derma sebagai usaha membantu meringankan beban.
Pengurusnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu Mohd Syukri yang merupakan anak nelayan di Kampung Tanjung Piai selepas melakukan ziarah dan menyampaikan sumbangan semalam.
Katanya, kanak-kanak itu cukup ceria sewaktu di ziarah biarpun keadaan kesihatannya kurang baik ketika itu.
"Sumbangan barangan keperluan harian dan makanan sebanyak RM1,000 diberikan kepada Mohd Syukri.
"Susu formula khas turut diberikan. Ibunya, Samsiah memberitahu Syukri bergantung kepada susu sebagai makanan tambahan kerana anaknya itu tidak berselera makan,”katanya.
Dalam pada itu, Mas Imran memberitahu tabung kutipan bagi Elisya Najwa 7 yang menghidap penyakit jantung terbalik di Kampung Sri Bunian sudah mencapai kutipan sebanyak RM8,790.
Katanya, tabung berkenaan telah dilancar sejak pertengahan November tahun lalu.
"Terima kasih atas keprihatinan orang ramai yang menghulurkan derma kepada Najwa. Tabung ini hanya diletakkan di dua pasar raya iaitu Pontian dan Pekan Nanas.
"Kita berharap akan dapat meneruskan program kutipan derma ini kepada adik Mohd Syukri pula selepas ini,” katanya.