PETALING JAYA - Kanak-kanak autisme yang hilang di kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, tengah hari Selasa ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan kediamannya pada jam 10 malam, Rabu.
Mayat mangsa Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun, ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari Zayn.
Mangsa ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Setakat ini pihak polis sudah menutup laluan belukar dari kawasan kediaman menuju ke lokasi mayat ditemui.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, yang berada di lokasi kejadian turut mengesahkan penemuan mangsa.
"Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana kita baru menemui mayat mangsa dan kini dalam peringkat menyiasat lokasi sekitar kawasan mayat ditemui," katanya kepada Sinar Harian yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat.
Pada Rabu, Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.36 petang, Selasa.
Kali terakhir kanak-kanak itu berada di kawasan perumahan tersebut dengan memakai baju-T berkolar dan berlencana sekolah, seluar hitam serta kasut sekolah hitam.