UMNO akan terus dukung kepimpinan Anwar

Iklan
Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu memutuskan untuk terus mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sebagaimana yang telah diputuskan oleh MKT parti itu pada 24 November 2022.

"Ia seperti juga yang telah diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari 2023 iaitu semua ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) UMNO mendukung pendirian parti untuk menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.

Susulan itu katanya, UMNO akan terus memperkukuhkan dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ia termasuk melalui perjanjian telah dimeterai terutamanya berkenaan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi.

"Bagi mempertingkatkan lagi kesefahaman dan kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia, Mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri-Negeri bermula Januari 2024,” jelasnya.

Tambah beliau, UMNO juga akan mengadakan Kolokium Khas Bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera pada 6 Januari 2024.

"Kongres itu bakal membentangkan hala-tuju dan tawaran ekonomi baharu untuk umat Melayu di negara ini,” katanya.