KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu, mengambil keputusan untuk memecat seorang ahli MKT, iaitu Isham Jalil daripada parti itu serta-merta.
Keputusan itu dimaklumkan oleh salah seorang ahli MKT yang turut menghadiri mesyuarat itu, di Menara Dato' Onn, malam ini.
Beliau bagaimanamun enggan namanya didedahkan kepada umum.
"Dia (Isham) dipecat,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang berakhir sekitar jam 10 malam tadi.
Bagaimanapun tidak dapat disahkan sama ada Isham dipecat daripada UMNO atau ahli MKT.
Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan Isham juga gagal apabila panggilan telefon tidak berbalas.
"Kesalahan dia banyak, dia suruh presiden dipecat dan letakkan jawatan. Dia kata UMNO, dia tak ikut keputusan parti, dia ajak presiden berdebat secara terbuka.
"Dan ini, saya rasa (mesyuarat) yang keempat dia tidak hadirkan diri,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tradisi dan peraturan parti yang diamalkan sejak 1946 adalah meletakkan kedudukan parti lebih tinggi daripada individu.
"Semua keputusan dasar parti ditentukan secara syura dan kolektif bukan individu. Dasar dan Hala-tuju parti hanya boleh diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agong UMNO bukan individu atau mana-mana kepimpinan tertinggi termasuk Presiden.
"Pandangan berbeza dirai dalam mesyuarat, namun mesti menjunjung tinggi prinsip 'decorum' adab 'bersetuju untuk tidak bersetuju'. Memelihara 'sumpah atas nama Allah' menyimpan kerahsiaan mesyuarat," katanya di Facebook beliau malam ini.
Sinar Harian melaporkan Isham mengesahkan beliau kekal dengan pendiriannya untuk memprotes dan tidak menghadiri mesyuarat parti itu, termasuk yang diadakan malam Rabu walaupun dicabar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk hadir.
Isham menegaskan, beliau akan terus melakukan protes itu selagi Ahmad Zahid meneruskan kerjasama dengan DAP.
Ahmad Zahid sebelum itu mencabar Isham untuk menyuarakan bantahannya terhadap kerjasama dengan DAP pada mesyuarat MKT UMNO malam ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Isham perlu menyuarakan rasa tidak puas hatinya termasuk kononnya ada segelintir pemimpin UMNO menjadi barua DAP yang menjadi punca parti itu ditolak oleh orang Melayu susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Sabtu lalu.