Perkasa jurulatih tempatan - Nazmizan

Iklan
Pelantikan jurulatih tempatan diharap mampu memberi impak positif untuk meningkatkan prestasi barisan atlet negara. Gambar kecil: Nazmizan

BEKAS Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menyambut baik hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menambah sembilan jurulatih baharu bagi memastikan perancangan skuad olahraga berjalan lancar.

Malah, Nazmizan berharap, pelantikan jurulatih terbabit mampu memberi impak positif untuk meningkatkan prestasi barisan atlet negara melibatkan acara pecut, padang dan dekatlon.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, beliau mahu kemampuan jurulatih tempatan ditambah baik ke tahap tertinggi dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet akar umbi untuk diserap sebagai atlet pelapis seterusnya hingga ke peringkat elit.

"Saya sokong hasrat tersebut, cuma yang menjadi persoalan kemampuan mereka untuk melonjakkan prestasi atlet itu ke tahap tertinggi.

Iklan

"Namun keupayaan jurulatih tempatan perlu terus diperkasa daripada segi pengetahuan, kemahiran dan penggunaan teknologi sukan terkini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada Isnin, SInar Harian melaporkan Pengurus Besar KOM, Norhayati Karim berkata, pelantikan jurulatih luar itu mampu memberi nilai tambah kepada jurulatih tempatan.

Iklan

Beliau berkata, KOM masih dalam proses menilai tatacara pemilihan jurulatih bersesuaian kerana mereka juga mahu membuka peluang kepada jurulatih tempatan untuk memohon menjadi ketua jurulatih.

Nazmizan memberitahu, jurulatih akar umbi di peringkat negeri dan sekolah masih menagih sokongan lebih padu dari Majlis Sukan Negara (MSN) dan KOM untuk memperkasa bakat baharu yang terdiri daripada pelajar sekolah.

Beliau berkata, program berkaitan kemahiran dan pengetahuan perlu terus diperhebat bagi memastikan jurulatih tempatan mahir dalam sukan olahraga yang melibatkan acara padang, balapan dan decatlon.

"Mereka memerlukan sokongan daripada aspek peralatan sukan, makanan tambahan serta sains sukan. Kursus juga penting buat mereka untuk mempertingkatkan lagi ilmu dan kemahiran dalam sukan olahraga,” ujarnya.

Kem olahraga kebangsaan ketika ini mempunyai 17 jurulatih dan KOM akan menambah beberapa jurulatih lagi tanpa menyingkirkan mereka.