Khan Yunis jadi medan tempur utama baharu

Iklan
Unit artileri IDF ditempatkan di kawasan bersempadan Genting Gaza.

KHAN YUNIS - Rejim Zionis terus mengepung bandar kedua terbesar di Genting Gaza pada Rabu setelah ia kembali memperhebatkan kempen pengeboman ganas ke atas wilayah itu sejak akhir minggu lalu.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kini memperluaskan operasi ketenteraan mereka di bandar Khan Yunis di selatan wilayah tersebut tanpa menghiraukan kutukan komuniti antarabangsa selepas ia 'melenyapkan' sebahagian besar kawasan utara setelah peperangan itu berlarutan selama dua bulan.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di Khan Yunis selepas pertempuran terus sengit pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Kami kini mara ke tengah-tengah Jabalia, Shejaiya (utara Gaza) dan di Khan Yunis," kata Ketua Komando Selatan, Mejar Jeneral Yaron Finkelman sambil menambah ia dijangka menjadi pertempuran paling sengit sejak operasi serangan darat bermula.

IDF juga mendakwa kononnya mereka berjaya menghapuskan sebahagian besar kubu kuat Hamas di bahagian utara Gaza selain menyebabkan sejumlah komander pejuang bumi Gaza itu gugur syahid.

Penduduk Palestin berpindah dari Khan Yunis ke Rafah mengikut peta 'zon selamat' dikeluarkan IDF.

Iklan

Sumber Hamas dan Jihad Islam menegaskan mereka bagaimanapun tidak hanya berdiam diri.

Anggota gerakan tersebut kini berjuang habis-habisan untuk menghalang kemaraan musuh ke Khan Yunis dan kawasan sekitarnya.

Penduduk Palestin yang melarikan diri dari Khan Yunis mendirikan khemah sementara di sebuah kawasan lapang di Rafah.

Iklan

Kini, lebih tiga perempat daripada kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza terkepung selepas kawasan selatan tersebut yang sesak dengan golongan hilang tempat tinggal menjadi medan tempur utama baharu.

Situasi di Genting Gaza semakin huru-hara gara-gara arahan gila Israel yang memaksa penduduk Palestin di utara berpindah ke selatan dan kebanyakannya memilih Khan Yunis sebagai tempat berlindung mereka kerana dianggap selamat.

Konvoi kereta kebal milik rejim Zionis mara ke kawasan berdekatan selatan Gaza.

Arahan terbaharu Israel pada Jumaat lalu yang menghendaki mereka bergerak lebih jauh ke selatan telah mencetuskan panik dalam kalangan golongan itu.

"Mereka dipaksa ke kawasan yang hanya berkeluasan kurang daripada satu pertiga saiz Genting Gaza dengan laluan ke sana yang penuh liku," ujar Ketua Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini. - AFP