SOPMA pacu impak positif buat orang pekak

Iklan
Sukan boling berlangsung meriah di Subang Jaya sempena SOPMA edisi ke-21 kali ini. Foto Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia. Gambar kecil; Shin Ruenn, Sheikh Farouk.

SUKAN Orang Pekak Malaysia (SOPMA) edisi ke-21 yang bakal menutup tirai malam ini memberi impak positif apabila berjaya menjadi pentas pemanas badan buat atlet untuk mengharungi temasya di pentas antarabangsa tahun depan.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn berkata, temasya yang bermula Ahad lalu bukan sahaja berjalan lancar, malah berjaya melahirkan barisan pelapis atlet muda yang berpotensi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pencapaian atlet-atlet itu berjaya memenuhi matlamat MSDeaf dalam menyediakan skuad yang lebih mantap untuk mengharungi temasya pada peringkat Asia Tenggara, Asia Pasifik dan antarabangsa pada tahun depan.

"Ia termasuk Sukan SEA Deaf di Jakarta pada September, Sukan Asia Pasifik Deaf di Iran pada November.

Iklan

"Skuad pelapis yang berjaya digilap bakat ini juga akan diketengahkan untuk temasya Deaflimpik yang akan diadakan di Jepun pada 2025.

"Ini menjadi bukti bahawa MSDeaf sudah bersedia untuk menghadapi dan merangkul pingat-pingat bagi tahun 2024 dan 2025 di peringkat antarabangsa," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, menurut Shin Ruenn, temasya yang setaraf dengan Sukan Malaysia (Sukma) tersebut akan kembali untuk bertemu para atlet pekak serta orang ramai pada 2025 di Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, temasya kali ini yang berlangsung di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang mempertandingkan lima acara iaitu olahraga, bola sepak (lelaki), futsal (wanita), badminton dan boling.

Beliau juga menyifatkan penambahan jumlah sukan pada SOPMA akan datang sebagai bukti bahawa aktiviti sihat seperti sukan melibatkan golongan orang pekak semakin berkembang pesat.

"Ini bermakna jumlah komuniti orang pekak semakin bertambah dan pada masa sama mereka sentiasa terlibat dengan aktiviti sihat melalui sukan.

"Ia juga sebagai bukti bahawa golongan orang pekak mampu menyertai aktiviti kesukanan sama seperti orang normal," katanya.

Justeru Shin Ruenn berharap kelangsungan sukan bagi orang pekak di Malaysia dapat diteruskan dengan kerjasama semua pihak terutama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara serta sektor korporat.

Dalam pada itu, mewakili AEON BiG yang merupakan penaja utama kejohanan menerusi Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed melahirkan rasa puas hati dengan perjalanan temasya berkenaan.

"AEON BiG, menganggap SOPMA sebagai pencapaian terbaik dan amat besar bukan sahaja bagi MSDeaf, malah komuniti orang pekak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Malah Sheikh Farouk memberi jaminan bahawa pihaknya sedia memberi kerjasama kepada MSDeaf bagi menjayakan sukan-sukan orang pekak pada masa hadapan.

"Kerjasama antara AEON BiG dengan MSDeaf telah membentuk sebuah komuniti yang saling berganding rapat serta percaya-mempercayai dan ini merupakan satu tanggungjawab AEON BiG bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu," katanya.