Premis enggan jual minyak masak peket, gula diserbu

Iklan
Sebanyak 90kg minyak masak peket dan 216kg gula pasir kasar ditemui disembunyikan dalam pasar mini di Kampar. - Foto KPDN

KAMPAR - Tindakan seorang peniaga menyembunyikan minyak masak peket dan gula bersubsidi menerima padah apabila dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada Rabu.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan penguat kuasa KPDN di sebuah pasar mini di Taman Sejahtera Jaya dekat sini sekitar jam 10.15 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan dilaksanakan susulan aduan awam memaklumkan premis berkenaan enggan menjual minyak peket dan gula kepada warga tempatan.

"Curiga dengan kenyataan itu, pasukan melakukan pemeriksaan menyeluruh dengan dihadiri seorang wanita berusia 48 tahun yang disyaki pemilik premis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan menemukan 90kg minyak masak peket dan 216kg gula pasir kasar yang disembunyikan dalam premis terbabit.

"Wanita terbabit gagal memberi penjelasan berhubung keengganan pihaknya menjual barang kawalan tersebut apabila diminta.

Iklan

"Sitaan dilakukan kesemua barang kawalan terbabit bersama salinan lesen runcit barang kawalan, salinan lesen pendaftaran syarikat (SSM) dan salinan lesen majlis (PBT) serta dokumen urusniaga yang berkaitan bernilai RM840.60," katanya.

Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan￾Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16A(1)(b) iaitu enggan menjual barang kawalan kecuali dengan kebenaran Pengawal Bekalan.