JEMPOL - Keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat seorang ahli MKT, Isham Jalil daripada parti itu serta-merta dianggap wajar dan tepat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, tindakan itu bersesuaian dengan aspirasi meletakkan parti lebih tinggi daripada mana-mana individu.
"Ini adalah satu keputusan yang sememangnya dinantikan oleh Isham Jalil sendiri yang seolah-olah sengaja mahu dirinya dipecat daripada parti dengan mengeluarkan pandangan-pandangan umum yang tidak selari dengan aspirasi UMNO kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Khamis.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan Isham dipecat oleh MKT dan keputusan itu dimaklumkan oleh salah seorang ahli MKT yang turut menghadiri mesyuarat itu di Menara Dato' Onn.
Mohd Zaidy berkata, tindakan UMNO ini juga memberi pengajaran kepada ahli parti supaya sentiasa patuh pada displin parti tidak kira,sama ada seseorang itu memegang status pemimpin parti ataupun sekadar ahli biasa.
"Justeru, sebagai seorang pemimpin parti di peringkat akar umbi, saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan parti di peringkat pusat khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjalankan amanah disiplin parti dengan memecat Isham Jalil yang jelas mempunyai agenda tersendiri.
"Kepada mereka yang berada di dalam parti, teruslah setia bersama dengan aspirasi parti keramat ini.
"Yakin dan percayalah pada perjuangan kita serta sama-sama melakukan yang terbaik supaya UMNO terus menjadi pilihan wadah perjuangan orang Melayu," katanya.
Beliau menegaskan, jika ada pandangan dan suara yang hendak disampaikan sebagai pemimpin mahupun ahli parti, gunalah saluran yang betul serta laksanakanlah dalam suasana yang penuh keharmonian.
"Yakinlah jika perjuangan diutamakan, maka UMNO akan terus kekal menjadi pilihan orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya.