KKR teliti, tambah baik aspek pelaksanaan MLFF - Nanta

Iklan
KKR sedang berusaha untuk memastikan kelancaran inisiatif MLFF supaya ia dapat menepati objektif yang diharapkan. - Gambar kecil: Nanta Linggi

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang meneliti semua aspek melibatkan pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) seperti yang telah dirancang kerajaan terdahulu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini menjelaskan kerajaan terdahulu telah mendapat kelulusan secara prinsip dalam pelaksanaan MLFF yang bermula pada 2021, namun kelulusan itu hanya untuk memberi ruang kepada proses rundingan dijalankan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan MLFF.

Nanta Linggi.

Iklan
Iklan

"Walaupun perancangan dan proses-proses kelulusan awal bermula sejak 2021, namun sebagai Menteri Kerja Raya pada masa kini, saya menyedari keperluan untuk membuat beberapa penelitian dan tindakan penambahbaikan.

"Ini terutamanya yang melibatkan aspek perundangan bagi memastikan MLFF dapat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya bagi mengulas laporan media yang mendakwa wujud monopoli dalam pelaksanaan MLFF.

Iklan

Nanta berkata, pada masa ini, pihak konsesi lebuh raya masih memegang hak mutlak untuk mengutip tol seperti dalam perjanjian konsesi yang masih berkuat kuasa.

"Atas dasar ini, saya dan pasukan kementerian sedang berusaha untuk memastikan kelancaran inisiatif MLFF supaya ia dapat menepati objektif yang diharapkan.

Iklan

"Inisiatif ini memerlukan kerjasama dan sokongan menyeluruh bukan sahaja dari kementerian ini malah pihak konsesi dan juga pengurusan tertinggi Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pelaksanaan MLFF bagi sistem kutipan tol di lebuh raya akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID). - Bernama