IPOH - [DIKEMAS KINI] Belanjawan Negeri Perak 2024 berjumlah RM1.35 bilion yang terbesar dalam sejarah diluluskan secara sebulat suara selepas dibentang dan dibahas selama tiga hari sempena Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di sini pada Khamis.
Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2022 itu mendapat sokongan 53 ADUN tanpa sebarang bantahan.
Sepanjang perbahasan selama dua hari hari bermula pada 4 Disember lalu, seramai 43 orang ADUN telah berbahas iaitu masing-masing 19 orang mewakili kerajaan, 24 dari blok pembangkang.
Selain exco kerajaan negeri, hanya dua ADUN iaitu ADUN Canning, Jenny Choy Tsi Jen yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan ADUN Kepayang, Nga Kor Ming tidak terlibat di dalam perbahasan belanjawan tersebut.
Seramai 10 orang exco kerajaan negeri terlibat dalam sesi penggulungan melibatkan portfolio masing-masing diikuti penggulungan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjawab pelbagai soalan dikemukakan oleh ADUN-ADUN ketika sesi perbahasan.
Ketika sesi pengundian untuk meluluskan belanjawan berkenaan, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengarahkan semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.
Kesemua ADUN yang hadir di dalam Dewan kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.
Mohammad Zahir kemudiannya mengumumkan Belanjawan Perak 2024 diluluskan pada bacaan kali kedua dan kali ketiga.
Sementara itu ketika sesi perbahasan, Saarani menjelaskan prestasi kutipan hasil negeri terus bertambah kepada RM1.094 bilion sehingga 7 Disember 2023.
"Dengan semangat kebersamaan, pertumbuhan ekonomi berjaya kita pacu semula sehingga membolehkan negeri kita kembali menjadi tumpuan pelabur dalam dan luar negara. Kejayaan yang digapai ini membolehkan kerajaan negeri merangka perencanaan sebuah belanjawan yang benar-benar berpaut kepada aspirasi dan denyut nadi rakyat. Ini didukung oleh prestasi kutipan hasil negeri yang begitu memberangsangkan.
"Jika pada pembentangan belanjawan minggu lalu saya memaklumkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan kerajaan setakat 25 November 2023 adalah berjumlah RM1.05 bilion, angka itu dilaporkan sudah meningkat menjadi RM1.094 bilion setakat 7 Disember 2023 iaitu pertambahan kira-kira RM44 juta dalam tempoh 12 hari. Jumlah ini adalah 96.5 peratus lebih tinggi berbanding sasaran tahun semasa," katanya.
Belanjawan Negeri Perak 2024 mengekalkan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera disediakan berteraskan kepada lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan.
Peruntukan belanjawan kali ini meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM856 juta manakala perbelanjaan pembangunan RM491 juta.