Penduduk dakwa diancam gajah liar sejak tiga bulan lepas

Iklan
Che Hussain (tengah) meninjau sekitar kolam ikan yang menjadi lokasi gajah liar mandi di kebunnya di Kampung Sungai Bayu Dalam di sini. - Foto: Bernama

GUA MUSANG - Penduduk di Kampung Sungai Bayu Dalam dekat sini mendakwa gajah liar mula muncul di penempatan itu sejak tiga bulan lepas.

Seorang penduduk, Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, berkata, dia ternampak seekor gajah liar dewasa sedang mandi di dalam kolam ikan peliharaannya.

Iklan
Iklan

"Saya terkejut mendengar khabar seorang pekerja warga Indonesia maut selepas mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk akibat diserang gajah liar yang mengamuk,” katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Che Hussain berkata, susulan kematian seorang pekerja ladang warga Indonesia yang diserang gajah liar di ladang getah Division B5, Ladang Upayapadu, Isnin lalu, penduduk kini bimbang untuk melakukan aktiviti harian mereka kerana kampung itu hanya terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Iklan

Turut senada Mek Som Awang, 73, yang mendakwa pernah beberapa kali diancam mamalia tersebut di kawasan rumahnya sebelum ini.

Mek Som berkata, dia khuatir sekiranya haiwan tersebut terus bertindak agresif sehingga memudaratkan keselamatan penduduk sekitar.

Iklan
Che Hussain (kiri) bersama isterinya, Mek Som menunjukkan batang pokok ubi kayu yang dirosakkan gajah liar berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Bayu Dalam di sini. - Foto: Bernama

"Sebelum ini ada seekor gajah besar kerap datang menghampiri rumah dan mencabut anak-anak pokok yang ditanam termasuk mencabut ubi kayu yang ditanam. Penduduk lain juga mengalami kerugian selepas tanaman mereka seperti pisang, ubi kayu dan pokok buah-buahan dirosakkan gajah liar.

"Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menangkap dan memindahkan gajah liar ini kerana boleh mengancam nyawa dan merosakkan hasil tanaman kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud menasihatkan orang awam untuk tidak mengadakan aktiviti rekreasi luar dan tidak mengadakan konvoi bermotor di kawasan berisiko.

"Kami minta rakyat berhati-hati dan mengehadkan dulu aktiviti di kawasan berisiko ancaman haiwan liar seperti aktiviti menoreh getah, bekerja di ladang kelapa sawit, mencari ikan di sungai dan aktiviti mencari hasil hutan.

"Kumpulan kenderaan lasak pacuan empat roda 4x4 juga perlu mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak polis, Pejabat Hutan dan Perhilitan sebelum masuk ke kawasan hutan,” katanya. - Bernama