IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak pada Khamis mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan gaji kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan berkenaan diberikan kepada 48 daripada keseluruhan 59 ADUN serta seorang Speaker.
"Sebagai buah tangan kepada persidangan kali ini, kerajaan negeri bersetuju untuk membayar BKK ini.
"Saya umumkan dahulu sebelum ada yang bertanya," katanya ketika sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.
Pemberian BKK itu akan melibatkan 22 ADUN kerajaan dan 26 wakil pembangkang.
Ketika pembentangan Belanjawan Perak 2024 minggu lalu, Saarani (BN-Kota Tampan) mengumumkan pemberian dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri termasuk 11 ADUN yang menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).
Dalam sesi penggulungan itu, Saarani turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju meneruskan peruntukan pengurusan Pusat Khidmat ADUN RM7,000 sebulan kepada semua 59 pusat khidmat.
Katanya, peruntukan itu boleh digunakan bagi membiayai bayaran elaun pegawai khas pusat khidmat masing-masing, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
"Kepada semua rakan-rakan ahli Yang Berhormat, usahlah berasa gelisah, bimbang atau bergundah-gulana. Yakinlah, apa jua ketetapan yang akan dibuat, kerajaan negeri memberi jaminan akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Perak merentasi kawasan politik, agama dan kaum," katanya.
Pengumuman itu mendapat reaksi positif kalangan ahli Dewan termasuk blok pembangkang yang bangun menzahirkan rasa terima kasih.
Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) menyambut baik pendekatan kerajaan negeri yang memberikan hak sama rata antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang
Ketua Pembangkang itu berkata, menerusi usaha itu, Perak telah menjadi negeri contoh kepada pentadbiran kerajaan Madani yang lain.
"Bagi pihak barisan pembangkang, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar," katanya.
Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama) dan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) turut menzahirkan harapan agar Perak jadi negeri terbaik dan disebut-sebut dari segi agihan peruntukannya.
...........................................................................................................................................
Pembangkang anggap bonus satu pengiktirafan
IPOH - Bantuan Khas Kewangan (BKK) selama sebulan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diumumkan kerajaan negeri disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada wakil rakyat pembangkang.
Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pujian harus diberikan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengambil pendekatan untuk tidak membeza-bezakan sama ada ADUN kerajaan atau pembangkang.
"Ini contoh tindakan seorang Menteri Besar yang begitu prihatin kepada pemimpin-pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang di Perak.
"Ketika perbahasan kami telah menyatakan hasrat supaya kami tidak disisihkan dalam apa juga agenda pembangunan negeri termasuk lawatan Menteri Besar atau exco untuk dilibatkan sama ADUN pembangkang," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak di sini pada Khamis.
Sementara itu, mengenai Belanjawan Negeri Perak 2024, Zainol Fadzi yang juga ADUN Sungai Manik menjelaskan ADUN pembangkang sebulat suara menyatakan persetujuan agar bajet tersebut diluluskan.
Menurutnya, ketika membahaskan belanjawan berkenaan juga, semua ADUN pembangkang menyatakan sokongan seperti mana ADUN kerajaan.
"Ini satu permulaan yang baik untuk negeri Perak sebab kita bersama-sama dengan Menteri Besar untuk membangunkan negeri. Kami sebagai ADUN-ADUN pembangkang ada tanggungjawab dan kami nak berkongsi hasrat dan harapan MB selaku pemimpin tertinggi negeri.
"Ini satu manifestasi yang jelas kepada rakyat kita tidak pernah menolak sekiranya dasar yang dibawa itu adalah dasar yang baik untuk negeri dan rakyat," katanya.
Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk membawa ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak kerana membuat spekulasi berhubung sokongan tiga orang ADUN pembangkang kepada kerajaan.
Menurutnya, kenyataan Muhamad Arafat itu hanyalah sensasi politik yang tidak ada asas kerana semakan telah dibuat, tiada ADUN pembangkang bertemu dengan Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
"Arafat ini setiap kali sidang dewan dia nak popular nak cari isu populis dan tak payah layan. Saya telah adakan pertemuan dengan hampir semua ADUN dan mereka kata tak pernah jumpa pun Arafat. Jadi dia jumpa siapa sebenarnya?
"Saya yakin sepanjang perbahasan di DUN, sebulat suara kerajaan dan pembangkang semua berbahas menyokong belanjawan 2024. Jadi tidak betullah kalau dia kata tiga orang, sebenarnya 26 orang ADUN pembangkang yang menyokong Menteri Besar," katanya.
Kerajaan Perak pada Khamis mengumumkan pemberian BKK satu bulan gaji kepada ADUN negeri ini. Bantuan berkenaan diberikan kepada 48 daripada keseluruhan 59 ADUN serta seorang Speaker.