Sultan Selangor titah masjid, surau sedia penyata kewangan tahunan beraudit

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya memastikan kesemua masjid dan surau di negeri itu menyediakan penyata kewangan tahunan beraudit untuk diperiksa dan disemak agar pengurusannya dilaksanakan dengan tatakelola yang betul.

Baginda bertitah pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat terhadap pengurusan kewangan, perolehan dan pengurusan aset akan menyebabkan masyarakat kurang yakin tentang kredibiliti serta integriti pentadbiran mereka.

Iklan
Iklan

Susulan perkenan baginda melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 di Istana Alam Shah, di sini hari ini, Sultan Selangor berharap pentadbir masjid dan surau dapat mematuhi dan melaksanakan semua ketetapan yang digariskan di dalam garis panduan itu.

Sultan Selangor bertitah dengan pelancaran buku garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu, adalah disarankan keperluan semasa disusun dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan tahap tatakelola dan tadbir urus yang cekap.

Iklan

"Pengurusan perolehan juga perlu diurus dengan tatakelola yang betul agar tidak melibatkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda bertitah bagi memastikan ketetapan itu difahami, MAIS dan JAIS diminta melaksanakan program latihan yang intensif serta berterusan dengan menerapkan kaedah latihan yang bersesuaian dengan latar belakang pentadbir.

Iklan

"Beta yakin masjid dan surau yang mempunyai sistem pengurusan kewangan yang baik akan lebih diyakini dan berterusan mendapat kepercayaan masyarakat untuk terus memberi sumbangan serta infaq mereka.

"Beta berharap agar buku garis panduan ini juga akan menjadi rujukan penting untuk meningkatkan kualiti pengurusan kewangan bagi mengangkat integriti dan kemuliaan masjid serta surau sebagai institusi masyarakat yang dihormati melalui amalan tatakelola yang kemas dan teratur,” titah baginda. - Bernama