PEMAIN Terengganu FC (TFC) dinasihatkan supaya tidak takut dan bimbang dengan kualiti dimiliki Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, tidak mustahil untuk TFC menundukkan JDT dan membawa pulang piala tersebut sejak memenanginya buat kali terakhir pada 22 tahun lalu.
Malah, beliau juga mempunyai formula ampuh apabila turut meminta formula daripada bekas pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak yang berjaya menumbangkan JDT di pentas final dan venue sama pada 2021 lalu.
"Bojan (Hodak) dan saya sememangnya rakan, dan ada masa kami bertukar-tukar pandangan dan saya ada bertanyakan kepadanya bagaimana cara mereka melakukannya (menewaskan JDT di final Piala Malaysia 2021).
"Ia termasuk di awal permainan hingga ia berlangsung bagi mendapatkan keputusan yang baik.
"Perlawanan boleh berjalan dalam 90 minit dan ada kala berlanjutan. Kita akan harunginya esok, dan saya ingatkan kepada pemain muda agar jangan takut dan tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Kali terakhir TFC memenangi Piala Malaysia ada pada 2001 selepas menewaskan Perak 2-1 di pentas final.
Dalam pada itu, ketua pasukan TFC, Habib Haroon menegaskan pasukan pantai timur itu sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi JDT yang juga penyandang juara Piala Malaysia.
"Dah 22 tahun trofi ini tidak dibawa pulang ke Terengganu dan kami sudah sedia menanti perlawanan final ini.
"Kami akan berikan 100 peratus dalam perlawanan nanti dan kami mahu membawa pulang piala ini," katanya.