Banteras aktiviti lumba haram

Iklan
Sebahagian motosikal diperiksa dalam Operasi Bersepadu Cegah Lumba Haram di Pantai Redang, Sekinchan.

SABAK BERNAM - Sebanyak 378 saman dan 37 notis JPJ atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Cegah Lumba Haram di Pantai Redang, Sekinchan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, operasi bersepadu bermula jam 6 petang dan berakhir pada pada jam 3 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 21 pegawai dan anggota pelbagai agensi meliputi 12 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sabak Bernam (4) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sabak Bernam (5).

"Sepanjang operasi ini, pihak berkuasa melalukan pemeriksaan terhadap 170 kenderaan iaitu 168 motosikal dan masing-masing sebuah kereta dan lori," katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam.

Iklan

Nor Azmi berkata, hasil operasi selama sembilan jam itu, sebanyak 378 saman dikeluarkan polis manakala 37 notis JPJ dikeluarkan kepada pesalah trafik berkenaan.

"Operasi turut menahan lima pesalah iaitu empat suspek atas kesalahan narkotik dan seorang lagi atas kesalahan trafik," katanya.

Iklan

Katanya, empat suspek lelaki berusia antara 19 hingga 20 tahun itu ditahan selepas hasil pemeriksaan air kencing dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis Meth.

"Manakala dua lagi positif dadah jenis THC manakala seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana kesalahan cukai jalan dan nombor plat pendaftaran kenderaan palsu.

"Operasi bersepadu bersama agensi lain seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan," katanya.