JOHOR BAHRU - Banjir kilat yang melanda di Kampung Mohd Amin di sini, pada petang Rabu dianggap paling buruk dalam tempoh 60 tahun lalu kerana air naik sehingga dua meter susulan hujan lebat dan air pasang besar.
Penduduk, Mohd Rahmat Ibrahim, 59 berkata banjir boleh dikatakan kerap berlaku, namun kejadian banjir bermula jam 12 tengah hari, dianggap terburuk kerana air naik hampir mencecah bumbung rumah.
"Setiap hujan lebat air akan naik tetapi hanya paras lutut, tapi kali ini lebih tinggi menyebabkan barang-barang dalam rumah tidak sempat diselamatkan kerana air naik begitu cepat.
"Saya cuba alihkan kenderaan, tetapi tak sangka jalan raya juga naik air, habis kenderaan ditenggelami air. Akibat masalah banjir ini, kami penduduk jadi bimbang setiap kali hujan berlaku, hendak keluar rumah rasa takut, kalau banjir berlaku lagi selepas ini," ujarnya ketika ditemui pada Khamis.
Seorang lagi penduduk, Norliza Fauzi, 37 yang kini sarat mengandung tujuh bulan berkata banjir kilat sudah melanda lebih 10 kali sepanjang tahun ini.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu yang yang bekerja sebagai pembantu kedai makanan di Hutan Bandar di sini, berkata ketika kejadian banjir kilat melanda, dia tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Katanya, dia terpaksa berjalan kaki dan meredah banjir sepanjang dua kilometer untuk pulang ke rumah selepas jalan raya sudah tidak boleh dilalui oleh kenderaan.
"Apabila suami telefon beritahu rumah banjir, saya mula risau keselamatan tiga orang anak berusia lima hingga 10 tahun yang tinggal di rumah. Saya minta kawan hantar saya pulang ke rumah tetapi jalan ke rumah sudah dipenuhi air.
"Saya terpaksa meredah banjir, bagaimanapun apabila sampai di kawasan rumah saya sudah tidak boleh masuk ke rumah kerana air terlalu tinggi.
"Rumah saya di tingkat atas, anak-anak saya di rumah. Suami pula sedang berusaha selamatkan kereta ketika itu. Saya nampak anak-anak menangis di dalam rumah, tetapi terpaksa tunggu air surut untuk mendapatkan anak-anak," katanya.
Sementara itu, pekerja kilang, Mohd Sharil Jamian, 41 berkata dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana tidak dapat pulang ke rumah disebabkan beberapa jalan ditutup ekoran banjir.
"Ketika banjir berlaku, saya dalam perjalanan pulang, bagaimanapun jalan ke Larkin dan Kempas tutup.Apabila tiba di rumah tengok air sangat laju, kalau biasa paras lutut tetapi semalam paras leher.
"Tiada satu barang pun sempat diselamatkan, termasuk buku-buku sekolah anak-anak semuanya habis rosak ditenggelami air banjir," katanya.
Berdasarkan laporan Pejabat Daerah Johor Bahru, sebanyak 38 lokasi di sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada petang Rabu.