PENAMPANG - Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir menyelesaikan isu miskin tegar di negara ini.
Beliau berkata, usaha itu dapat dijayakan hasil kerjasama daripada semua pihak termasuk kementerian dan di semua peringkat termasuk di mukim.
"Alhamdulillah sampai Disember kita hampir selesaikan masalah ini. Yang miskin masih ramai, yang saya maksudkan miskin tegar yang makannya ada masalah, yang bayi menyusu dan untuk anak dia uniform ke sekolah kita telah selesaikan.
"Kita selesaikan kerana muafakat dan kerjasama semua peringkat kerajaan negeri sehingga ke pejabat daerah dan mukim, jadi ini kita jayakan," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2023 (HPPK2023) di Buhavan Square, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak isu di Sabah dan Sarawak berkaitan kos sara hidup yang tinggi berbanding di Semenanjung.
"Di Sabah dan Sarawak masalahnya masih rumit, Ketua Menteri jelaskan pada saya tentang harga ayam, harga beras, harga barang makanan masih tinggi di Sabah.
"Oleh itu saya memutuskan bahawa kita harus tanggani dengan baik kalau perlu suntikan wang kita tambah supaya kita apung dengan harga yang dibantu seperti mana harga ayam sekarang, kerajaan Persekutuan bayar subsidi seperti mana beras kita bayar subsidi supaya kurang kita dapat turunkan sedikit harga barang di Sabah ini.
"Jadi orang-orang Sabah kena tahu kalau tak kita tampung harga itu akan melambung lebih tinggi, bagaimanapun masih tinggi jadi saya minta Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusi jawatankuasa khas bagaimana tangani harga barang terutama di Sabah dan Sarawak dengan bantuan kerajaan Persekutuan dan dengan beberapa kaedah lain dan ini akan disegerakan," jelasnya.