'Gout kronik, benjolan makin banyak' - Bekas pekerja e-hailing

Iklan
Mohd Ridzuan (duduk) menerima sumbangan darioada Mas Imran yang berkunjung ke rumahnya pada Khamis. Gambar kecil: Keadaan gout kronik di kedua-dua tangan Mohd Ridzuan.

JOHOR BAHRU –"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul."

Mungkin itu perumpamaan tepat bagi menggambarkan nasib dilalui bekas pekerja e-hailing, Mohd Ridzuan Nuri yang tidak mampu meneruskan pekerjaannya akibat penyakit gout kronik dialaminya.

Iklan
Iklan

Keadaan itu turut menyebabkan pergerakan bapa kepada tiga orang anak berusia 10, lapan dan enam tahun itu agak terbatas, selain memerlukan tongkat ketiak (topang), untuk membantunya bergerak.

Menurut Mohd Ridzuan, penyakit dideritai selama 13 tahun itu semakin kritikal dan serius sejak tiga tahun lalu, namun dia tidak putus-putus berikhtiar dengan mendapatkan rawatan di hospital dan juga melalui kaedah berbekam selain berpuasa untuk mengurangkan penderitaan tersebut.

Mohd Ridzuan (kiri) bersalaman dengan Mas Imran di hadapan rumahnya di rumahnya di Kampung Plentong Baru, Masai pada Khamis.

Iklan

"Pada mulanya saya alami bengkak dan lepas tu saya cuba berurut, tapi makin lama makin bengkak, tak susut.

"Jadi saya ambil keputusan untuk periksa darah dan doktor sahkan asid urik saya tinggi dan saya ada sakit gout.

"Sakit gout ni semakin serius dan keluar benjolan, semakin banyak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Plentong Baru, Masai.

Iklan

Hadir sama, Ketua Kampung Ketua Kampong Senibong Mukim Plentong, Abd Rahim Moen dan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam yang sempat meluangkan masa mengunjungi dan menyampaikan sedikit barangan keperluan kepada Mohd Ridzuan.

Selain itu, difahamkan, isterinya, Endang Lestari Mohd Nor, 35, sedang hamil dan dijangka bersalin pada 25 Disember ini.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, dia kini lebih banyak mengambil sayur-sayuran dalam pemakanan seharian dan mengelakkan makanan berdaging termasuk ikan bagi mengurangkan risiko bengkak.

"Buat masa ini, saya juga ada ke hospital tetapi sekarang memang susah untuk saya ke hospital dan lebih banyak lakukan rawatan tradisional dan ia boleh dibuat di rumah.

"Insya-ALLAH, bila dah sihat saya akan ke hospital semula kerana sakit saya ni pun kena rujuk kepada hospital,” katanya.

Orang ramai yang sudi membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Mohd Ridzuan menerusi akaun Public Bank bernombor 6867208532 atas nama Mohd Ridzuan bin Nuri, bagi membantu meringankan beban ditanggungnya sekeluarga.