Peraturan EU tidak beri kesan ke atas Felcra, RISDA - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Felcra Bhd dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) tidak terkesan secara langsung daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ini berikutan hasil tanaman kelapa sawit dan getah di bawah kedua-dua entiti itu hanya dijual di pasaran tempatan.

Iklan
Iklan

"Namun demikian, kita perlu mengambil peduli dengan keperluan antarabangsa yang berkaitan dengan sekatan ini.

"Sehubungan itu, kita telah melaksanakan program kebolehjejakan di peringkat ladang dan kilang penapisan bagi memastikan sumber buah sawit itu datang dari ladang yang mempunyai Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO),” katanya yang mewakili kementerian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Iklan

Perundangan EU itu yang berkuat kuasa pada Januari 2025, mewajibkan pengendali pengeluaran produk komoditi di bawah skop EUDR untuk membuktikan bahawa produk dihasilkan tidak dikaitkan dengan penebangan hutan melalui proses usaha wajar membabitkan pengesanan dan lokasi geografi.

EUDR yang sudah diluluskan oleh EU, merangkumi enam komoditi seperti soya, daging lembu, minyak sawit, koko, kayu dan kopi.

Iklan

Dalam pada itu, mengulas cadangan untuk mewujudkan entiti khas Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara (UTARA) bagi menampung kepesatan ekonomi di Kota Bharu dan kawasan sekitarnya, Ahmad Zahid berkata, syor itu sebagai baik untuk manfaat penduduk di kawasan berkenaan.

"Insya-ALAH, saya akan memaklumkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneliti perkara itu.

"Tapi untuk langkah awal, saya akan minta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) untuk memperluaskan (usaha pembangunan) di utara dahulu dengan peruntukan sedia ada,” katanya.

Menurutnya, ini berikutan cadangan oleh Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh di Dewan Negara semalam, dibuat selepas pengumuman Belanjawan 2024. - Bernama