Tunjuk bukti jika wujud bilik banduan VIP - Saifuddin Nasution

Iklan
Saifuddin Nasution (tengah) pada sidang media selepas melancarkan Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara di Kompleks Mini KDN Daerah Muallim pada Khamis.

TANJUNG MALIM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan wujudnya bilik banduan VIP (orang kenamaan) di Penjara Sungai Buloh seperti yang didakwa individu yang dikenali sebagai ‘Abang Mat', baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan yang dimuat naik di laman sosial itu dilihat cuba menjejaskan reputasi Jabatan Penjara Malaysia.

Iklan
Iklan

"Sepanjang setahun duduk di KDN (Kementerian Dalam Negeri), mengenali institusi ini dan melakukan lawatan di sebahagian besar penjara di seluruh negara, tiada pun saya temui ruang VIP untuk mana-mana penghuni.

"Saya sendiri mengikuti setiap perjalanan pentadbiran dan pengurusan sistem penjara, saya masuk sendiri dan lihat. Kalau ada dakwaan mengatakan ada ruang VIP, itu tiada," katanya pada sidang media selepas melancarkan Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim di sini pada Khamis.

Iklan
Saifuddin Nasution menandatangani plak simbolik merasmikan SPD di Kompleks Mini KDN di Slim River.

Hadir sama, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Mohamad; Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Tambah Saifuddin, individu terbabit diminta untuk menghentikan sebarang penyebaran maklumat tidak berasas.

Iklan

"Pada yang membuat dakwaan itu perlu tampil bersama bukti.

"Kalau setakat tulis dengan tujuan untuk menjejaskan reputasi jabatan, kita tolak sekeras-kerasnya," katanya.

Saifuddin Nasution (dua dari kanan) merasmikan penyerahan kenderaan pacuan empat roda SPD kepada Jabatan Penjara pada pelancaran SPD di Kompleks Mini KDN Daerah Muallim pada Khamis.

Terdahulu, satu rakaman wawancara berdurasi 80 minit telah dimuat naik di aplikasi YouTube berkenaan kisah seorang bekas banduan di Penjara Sungai Buloh yang dikenali sebagai Abang Mat.

Dia mendakwa di penjara ada sebuah blok khusus untuk individu kenamaan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kebanyakannya didiami oleh banduan warga asing.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan menegaskan kenyataan yang dibuat oleh ‘Abang Mat’ itu tidak benar dan berniat jahat.

JPM juga tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana dakwaan itu bukan sahaja mencemarkan imej institusi berkenaan malah menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri.