GOL voli cantik separuh masa pertama Virgil van Dijk memacu kembali Liverpool di landasan kemenangan selepas menewaskan Sheffield United 2-0 di Stadium Bramall Lane, Sheffield pada Khamis.
Jaringan minit ke-37 pemain Belanda itu kemudiannya dilengkapkan dengan gol kemenangan Dominik Szoboszlai pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk tiga mata The Reds.
Kemenangan diraih anak buah Jurgen Klopp itu melonjakkan Liverpool ke tangga kedua dengan 34 mata, dua di belakang pendahulu Arsenal.
Kekalahan The Blades itu juga memberikan pengendali baharu Chris Wilder permulaan yang mengecewakan selepas kembali menerajui kelab tersebut baru-baru ini.
Bagaimanapun Van Dijk mengakui lega dengan kemenangan itu apabila Sheffield kembali menghadirkan tentangan sengit selepas jaringan separuh masa pertama.
"Ya, satu kelegaan apabila pasukan meloloskan diri dengan kemenangan berikutan persembahan bersemangat daripada pasukan tuan rumah.
"Jelas sekali, anda perlu bekerja keras untuk setiap perlawanan, terutamanya menentang pasukan yang bertukar pengurus. Ia sentiasa menjadi pertempuran sengit, tetapi kami melakukannya dengan baik dan berhak mendapat tiga mata.
"Apabila anda mendapat peluang terbaik seperti itu, anda perlu menamatkannya (dan) saya gembira kerana berjaya melakukannya. Ia adalah gol penting, terutamanya untuk memimpin permainan,” kata Van Dijk