PENAT, letih, lelah dan lesu. Itu antara perkataan yang sering kali kita ucapkan hampir saban hari.
Maklum sahajalah, masing-masing sibuk dengan rutin seharian. Sejak mula bangun dari tidur, ada sahaja perkara yang mahu dilakukan selagi mata tidak terlelap pada malam harinya.
Tidak kiralah beribadah, bekerja, mengurus kehidupan dan sebagainya. Begitulah kehidupan yang direntasi setiap orang. Cuma hanya dibezakan dengan pekerjaan dan rutinnya sahaja.
Tidak hairanlah kadangkala terluncur jua perkataan penat dari bibir. Sementelah, kita hanyalah insan biasa, bukan robot atau mesin.
Pendakwah Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, setiap orang letih bukan setakat dari segi fizikal, tetapi juga emosi, mental dan juga spiritual.
"Ini termasuklah kebimbangan dan ketakutan kita. Bahkan, nabi menyebut, walaupun duri kecil terkena kaki kita, semua akan menggugurkan dosa kita.
"Semua itu akan membersihkan diri sehinggalah kita berjalan atas muka bumi ini tanpa dosa,” katanya menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.
Dalam seharian, tidak terhitung betapa banyaknya perkara yang dilakukan.
Daripada apa yang dikerjakan, kata Ustazah Asma’, tiada siapa tahu amalan mana yang akan mendatangkan pahala diterima oleh ALLAH SWT dan membawa kita ke syurga.
"Kadang-kadang terfikir juga, ibadahnya (terasa) kurang, sedikit, sudahlah solat itu dikerjakan hanya lima minit, tidak khusyuk pula. Rupa-rupanya Nabi Muhammad SAW tahu dan faham situasi kita,” katanya.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 128)
Berdasarkan nas itu, ujar penceramah itu, jelaslah bahawa Rasulullah SAW sangat memahami penderitaan dan beban yang kita tanggung.
"Bila bersih kita daripada dosa, bermaksud insya-ALLAH kita akan masuk syurga,” ungkapnya.