PASIR GUDANG - Lebih 100 keluarga di Kampung Masjid, Kampung Sepakat, Kampung Desa Bakti dan sekitar pekan Masai di sini trauma dan tidak sanggup lagi berdepan musibah 'banjir merah' setiap kali hujan lebat lebih satu jam setengah.
Menurut Yazid Darus, 45, dari Kampung Masjid, banjir kilat itu berikutan Sungai Masai berhampiran rumah melimpah dan membawa air bercampur tanah merah dari kawasan projek perumahan kira-kira 2 kilometer dari rumah mereka.
Dia yang mengusahakan Pusat Pengajian Al-Quran Al Thoifury di pekan itu berkata, banjir kilat pada Jumaat naik hampir satu meter sekali gus merosakkan peralatan eletrik yang ada dengan kerugian lebih RM3,000.
"Tahun ini sudah dua kali 'banjir merah' melanda dengan terbaharu pada Jumaat yang merosakkan antaranya kipas, peti ais, 'blower' dan kapet. Tanah merah masuk dalam pusat pengajian, mujur kitab-kitab al-Quran dapat diselamatkan," katanya.
Yazid yang juga Imam di Masjid Al Muhajirin Masai di pekan itu berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang meninjau Sungai Masai pada Khamis.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, siasatan penduduk mendapati punca air banjir yang kotor itu datang dari kawasan tasek berdekatan lalu masuk kawasan projek pembinaan tersebut sebelum membawa tanah merah dan masuk ke Sungai Masai.
Ismail Talib, 53, dari Kampung Masjid mendakwa, punca banjir merah bukan sahaja daripada tapak projek perumahan itu tetapi juga dua sungai lain yang berdekatan sebelum semua air masuk ke dalam Sungai Masai.
Dia yang mempunyai empat anak berkata, keadaan itu menyebabkan Sungai Masai tidak dapat menampung kapasiti air dan mengakibatkan banjir kilat sehingga bukan sahaja merosakkan rumah tetapi juga menenggelamkan kereta penduduk walaupun sudah di alih ke tempat tinggi.
"Boleh lihat juga guni-guni berisi pasir yang menjadi tebatan banjir diletakkan sepanjang tebing sungai semuanya sudah tidak ada akibat tanah runtuh selain dibawa arus deras. Sudah tiga kali guni-guni ini diletakkan dalam tempoh 10 tahun, selepas ini perlu dibina tembok," katanya.
Katanya, keadaan akan bertambah teruk apabila berlaku air pasang kerana Sungai Masai tidak dapat mengalir ke bahagian kuala sebelum masuk ke laut selain diburukkan lagi dengan masalah sampah tersumbat.
"Masalah sampah sarap, tilam dan perabot dibuang penduduk ke dalam sungai pun satu hal juga, ini kerana tiada disediakan tong sampah dan perkhidmatan kutip sampah sepertimana di kawasan berdekatan," katanya.
A Rahman Bujang, 60, dari Kampung Masjid mahu pihak berkenaan segera mendalamkan Sungai Masai yang semakin cetek selain membina projek tebatan banjir baharu bagi mengelak mangsa banjir terus menanggung kerugian.
Sementara itu, Hassan berkata, masalah tersebut akan dibawanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Johor Bahru yang akan dipengerusikan Pegawai Daerah pada 12 Disember ini.
Menurutnya, kawasan terjejas melibatkan 50 rumah di Kampung Masjid, 40 rumah di Kampung Sepakat dan 10 rumah di Kampung Desa Bakti manakala selebihnya di sepanjang pekan Masai termasuk kedai serta bengkel.
"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mengorek dan mendalamkan selain boleh juga meluruskan Sungai Masai. Sekiranya kos meluruskan sungai boleh dilakukan, kerajaan boleh memberi pampasan untuk lima atau enam buah rumah di tebing sungai yang mempunyai geran.
"Projek tebatan banjir yang baharu juga boleh dibina iaitu satu tembok konkrit lebih tinggi di tebing sungai. Saya dimaklumkan kerajaan negeri sedia memberi RM5 juta untuk membaiki Sungai Masai," katanya.