'Peruntukan pembangkang manifesto kerajaan' - Takiyuddin

Iklan
Takiyuddin - Foto Bernama

KOTA BHARU - Peruntukan kepada pembangkang sebenarnya tidak memerlukan sebarang perbincangan berikutan ia antara manifesto Kerajaan Perpaduan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu tidak perlu dirundingkan lagi malah perlu dibahagi sama rata antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penerimaan peruntukan berkenaan adalah wajar dan perkara itu sudah banyak kali dibangkitkan di Parlimen.

"Kita sebagai pembangkang berpendapat, tidak perlu lagi dirundingkan kerana ia jelas menjadi satu manifesto kepada kerajaan yang ada hari ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pelancaran Dokumen Induk di sini pada Khamis.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang belum dapat ditentukan kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin belum lagi berbincang dengannya.

Iklan

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berharap Hamzah akan mengadakan perbincangan berhubung soal peruntukan itu terlebih dahulu, sebelum sebarang keputusan dapat diambil.

Mengulas perkara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas memaklumkan sudah beberapa kali mengadakan rundingan dengan Fadillah tetapi gagal.

"Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berunding sendiri dengan ketua pembangkang dan keputusan yang dibuat lebih berkesan.

"Bukan tidak boleh berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri tetapi tidak berkeputusan dengan baik," katanya.