Ibu ulang-alik 60km sehari demi anak hidap penyakit saraf

Iklan
Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ruzairi Abdul Rahim (dua dari kanan) beramah mesra dengan Mohammad Izzat (kanan) sambil disaksikan Zainab (kiri) selepas Istiadat Konvokesyen ke-23 UTHM di Dewan Sultan Ibrahim Kampus Induk di Batu Pahat pada Khamis.

BATU PAHAT - Seorang ibu sanggup berulang-alik sejauh 60 kilometer dari rumahnya di Bakri ke tempat belajar anaknya di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh demi memastikan anaknya yang menghidap penyakit saraf itu dapat menggenggam diploma.

Ibunya, Zainab Othman, 64, yang juga pesara guru berkata, Mohamad Izzat Hanafi Suhaili, 21, menghidap penyakit atropi otot spina atau muscle deterioration iaitu saraf mengecut sejak lahir di mana kedua-dua kakinya tidak boleh digerakkan selain pembesaran tubuh badan terbantut manakala pergerakan tangan terbatas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini arwah suaminya menguruskan Mohamad Izzat yang mendaftarkan diri sebagai penuntut di peringkat diploma dalam bidang teknologi maklumat pada Julai 2019 memandangkan anaknya itu tidak mampu tinggal di asrama akibat kesukaran menguruskan diri.

"Bagaimanapun, kira-kira dua bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) berlaku, ayahnya Suhaili Othman meninggal dunia.

Iklan

"Selepas itu tugasan itu diambil alih saya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis konvokesyen anaknya sempena Istiadat Konvokesyen Ke-23 UTHM di sini pada Khamis.

Menurut Zainab, dia memberanikan diri menempuh perjalanan dari kediamannya di Taman Meranti, di Bakri, Muar ke Pagoh selama dua semester kira-kira lapan bulan demi anaknya itu.

Iklan

Katanya, Mohamad Izzat merupakan anak yang pintar dan telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya berharap dia tidak patah semangat dan mampu meneruskan cita-citanya untuk menggenggam segulung ijazah satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Izzat yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik memberitahu, pensyarah dan rakan-rakannya banyak menghulurkan bantuan selain memberikan kata-kata semangat termasuk ketika menyiapkan tugasan.

Jelasnya, ibunya juga merupakan insan yang banyak membantunya selama tiga semester belajar di rumah berikutan penularan Covid-19.

"Setelah tamat pengajian dan selesai konvokesyen, saya bercadang untuk mencari kerja yang sesuai dengan kelulusan.

"Keadaan saya sekarang ini, saya harap akan memperolehi pekerjaan yang ada kaitan dengan teknologi maklumat,” katanya.