KUALA LUMPUR - Seorang warga emas didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki untuk mendapatkan gelaran 'Datuk' dan menyembunyikan wang berjumlah RM12,500 dalam akaun miliknya.
V S Suwaminathan, 62, yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret S Mageswary dan Wong Chai Sia.
Lelaki itu didakwa menipu lelaki berusia 65 tahun itu dengan memperdayakannya bagi mendapatkan gelaran Datuk yang sebenarnya tidak wujud sehingga mendorong mangsa memindahkan wang RM15,000 melalui tiga transaksi ke akaun bank miliknya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Taman Maluri, Cheras di sini antara 3 Jun hingga 17 Ogos 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan menolong menyembunyikan atau mengalihkan wang berjumlah RM12,500 milik seorang lelaki yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama di sini pada 28 Mei hingga 29 Mei 2017 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi dan Sareeka Balakrishnan manakala tertuduh diwakili peguam L. Mehnagha. - Bernama