Terkesan teguran ustaz, Alif Satar perbetul diri

Iklan
Alif bersyukur apabila insiatifnya mendapat sambutan daripada pengikut di Instagram.

PENYANYI dan pengacara popular, Alif Satar meluahkan rasa teruja apabila usahanya mengajak orang ramai menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid seperti solat Jumaat mendapat sambutan positif.

Jelas pemilik nama penuh Muhammad Alif Mohd Satar itu, dia pada awalnya ingin memperbetulkan diri sendiri selepas terkesan dengan ceramah seorang ustaz semasa mengikuti sebuah kelas agama.

Iklan
Iklan

"Dalam kelas itu, ada yang tanya macam mana nak lawan tentera Zionis? Kemudian ustaz itu tanya kembali, solat Subuh di rumah atau di masjid? Individu itu jawab dia solat di rumah kerana takut mengantuk.

"Jadi ustaz itu jawab kalau mengantuk pun takut, macam mana nak lawan tentera Zionis? Kemudian ustaz itu kongsi hadis yang saya tidak pernah dengar iaitu waktu paling berat buat si munafik adalah Isyak dan Subuh.

Iklan

"Bila dengar itu, rasa terkesan sebab saya ajak pengikut Instagram bangun awal dan mulakan dengan senaman jam 5.30 pagi sebelum buat rutin lain, walhal sepatutnya kena mulakan dengan Subuh. Jadi inisiatif itu sebenarnya untuk betulkan diri saya juga, bukan terfikir satu gerakan,” katanya.

Alif menjelaskan perkara itu ketika ditemui selepas tayangan filem terbaharu lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan 2 di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada Selasa.

Alif tampil sebagai Ustaz Taha dalam Anak Perjanjian Syaitan 2.

Iklan

Tambah personaliti berusia 33 tahun itu, dia terkejut apabila ramai yang turut serta menunaikan solat Subuh di masjid kariah masing-masing.

Malah Alif turut teruja apabila usaha itu dapat sokongan kariah masjid di tempat tinggalnya.

"Ramai tag saya, daripada budak universiti sehinggalah ke Turki. Kami guna tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat.

"Malah di masjid berhampiran rumah saya pun, kalau sebelum ini hanya satu saf setengah yang penuh, kini sudah lebih dua saf jemaah yang hadir untuk solat Subuh.

"Saya harap perkara ini berterusan kerana dalam kita bersolidariti untuk Palestin, kita kena juga betulkan diri sendiri,” jelasnya.

Sementara itu ditanya penglibatannya memegang watak ustaz dalam filem Anak Perjanjian Syaitan 2, Alif berkata, dia mendapat tawaran itu daripada pengarah dan penulis skrip, Dr Ahmad Idham ketika berada di Makkah.

Katanya, tawaran itu sukar ditolak dan demi memastikan dapat membawakan watak Ustaz Taha dengan baik, Alif banyak berlatih mengalunkan ayat 115 hingga 118 surah Al-Mu’minun dengan lancar.

"Kalau orang cemuh perkara lain saya boleh terima, tapi bila kita jayakan sendiri bacaan ayat dalam al-Quran takkan nak tangkap muat sahaja.

"Bimbang juga kalau qalqalah tersilap, tetapi kalau ada yang menegur, saya tetap terima dengan hati terbuka. Ini pengajaran juga untuk yang menonton kelak," katanya.

Selain Alif, filem terbitan Grand Brilliance Studio itu turut dibintangi Eyka Farhana, Fasha Sandha, Azizah Mahzan, Azlan Komeng, Dian P Ramlee, Shaharuddin Thamby, Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong dan Elly Arifin.

Anak Perjanjian Syaitan 2 bakal menemui penonton bermula 4 Januari depan.