PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sediakan geran perniagaan berjumlah sehingga RM50,000 kepada 26 finalis terpilih yang telah membentangkan rancangan perniagaan masing-masing di Cyberview Resort & Spa pada Khamis.
Menerusi program Risda Groom Big Challenge (RGBC) bermula 4 hingga 7 Disember, ia bertujuan mengetengahkan hala tuju ekonomi usahawan mikro dan kecil dengan memfokuskan empat aspek utama iaitu ilmu pengetahuan, peningkatan proses pengeluaran, jaminan kualiti produk serta pengembangan perniagaan.
Pengerusi Risda, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya berbangga melihat program itu berjaya menjadi wadah pemerkasaan pengurusan perniagaan buat kesemua 117 usahawan pekebun kecil seluruh negara yang menyertai RGBC tahun ini.
Menurutnya, ia bukan semata-mata pertandingan, sebaliknya platform berkesan bagi usahawan pekebun kecil mencorakkan masa depan masing-masing.
"Setakat Oktober lalu, jumlah jualan usahawan melalui RGBC adalah RM72.69 juta, sementara purata pendapatan seorang sebanyak RM16,774 sebulan.
"Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan meletakkan sasaran 45 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2025 disumbangkan oleh sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Ia amat selari dengan objektif kami untuk mencapai pendapatan purata RM4,500 pekebun kecil sebulan sekeluarga menjelang akhir 2025,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup RGBC peringkat akhir 2023 pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Risda, Haniza Ab Shukor; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Risda Holdings Sdn Bhd, Zainal Azni Zulkifli; Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan merangkap hos program, Md Najip Ishak serta Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy Sdn Bhd, Shaifful Bahri Othman yang juga ketua juri.
Pemenang utama, Mohd Rahmat Bahaudin dari Selangor memperoleh geran perniagaan RM50,000 selain hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi.
Naib juara, Suffian Tsourie Zakaria dari Perak menerima RM5,000 dan tempat ketiga, Imelda Bragie AK Jimie dari Sarawak membawa pulang RM3,000
Sementara itu, Haniza berkata, Risda sebagai agensi di bawah naungan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut berusaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui beberapa program Aktiviti Ekonomi Tambahan yang lain sama seperti RGBC.