LABUAN - Kerajaan Persekutuan memandang serius kelewatan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang terkebelakang dari Sarawak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang menelan perbelanjaan melebihi RM16 bilion adalah lewat.
"Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak sudah hampir selesai, Sabah lambat lagi, jumlah peruntukan sama dan tarikh pelaksanaan sama,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan hari ini.
Anwar berkata, bagi mempercepatkan pelaksanaan projek lebuh raya ini satu proses pelantikan kontraktor baharu melalui tender secara telus akan dibuat (dengan keputusan bersama kerajaan Negeri Sabah) bagi melantik kontraktor yang berupaya menyiapkan projek itu.
"Kalau ada kontraktor yang mampu dan berupaya termasuk dari Sabah, silakan ikut tender, bukan kerana dia itu menyokong kita, kroni kita ataupun anak kita, kalau ini dapat dilakukan, saya percaya progres projek ini akan berjalan lebih baik dan memberi faedah kepada rakyat Sabah, ” katanya.
Secara keseluruhan, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengandungi sebanyak 35 pakej kerja dalam Fasa Satu, dengan 16 daripadanya iaitu Fasa 1a sudah dimulakan, manakala baki 19 pakej dalam Fasa 1b belum bermula.
Panjang jajaran dalam semua pakej kerja itu dianggarkan sejauh 706 kilometer.
Berbeza dengan Sarawak, keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri jiran itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, isu sekolah daif di seluruh negara akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.
"Kita bercakap reformasi digital, kecerdasan buatan (AI), tapi keadaan sekolah-sekolah masih daif, anak-anak ke sekolah dengan tandas yang rosak,” katanya.
Anwar berkata selama setahun Kerajaan Madani mentadbir kerajaan, lebih 8,500 tandas sekolah di seluruh negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil telah dibaiki sepanjang tahun ini.
Perdana Menteri juga berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan memberi perhatian kepada kedaifan perumahan kakitangan awam, anggota keselamatan tentera, polis di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
"Ianya akan menjadi perhatian Kerajaan Persekutuan pada tahun hadapan,” katanya. - Bernama