PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan kebimbangannya mengenai kecederaan yang mungkin dialami beberapa tonggak pasukan kebangsaan apabila beraksi di permukaan padang yang tidak sempurna.
Tunku Ismail menyuarakan kebimbangan itu di laman Instagram, malaysiafootballleague selepas mengadakan tinjauan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT menentang Terengganu FC pada Jumaat.
Iklan
Iklan
"Main boleh main. Tetapi quality game akan low...
"Yang membimbangkan adalah pemain utama/pemain kebangsaan macam Corbin (Ong), Arif Aiman (Hanapi), Matthew Davies, Endrick Dos Santos, Shahrul Saad, dan Afiq Fazail cedera.
"(Risiko cedera) buku lali, paha, lutut dan groin oleh kerana padang tak rata. Bulan depan Piala Asia di Qatar," tulis Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada Khamis.
Permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil kembali menjadi perhatian selepas Tunku Ismail berkongsi gambar terkini keadaan padang yang masih dalam proses baik pulih selepas rosak akibat konsert kumpulan Coldplay pada 22 November lalu.
Situasi padang itu mengundang persoalan sama ada ia benar-benar bersedia untuk aksi final Piala Malaysia Jumaat ini.