BARU-baru ini, seorang rakan bertanya pendapat Merak Jalanan mengenai cadangannya untuk menukar motosikal berkuasa tinggi miliknya kepada sebuah model baharu lain dengan bayaran secara ansuran.
Merak Jalanan bertanya, apa sebab dia hendak menukar motosikal lain.
Adakah keperluan atau sekadar suka-suka?
Sebab Merak Jalanan tengok kilometer motosikal lamanya itu pun tidak cecah 20,000 kilometer walaupun dibeli hampir lima tahun yang lalu.
Rupanya dia mahu menukar kerana tertarik orang lain menunggang motosikal jenis baharu tersebut.
Mengancam katanya!
Melihat kepada gajinya yang cukup-cukup makan, Merak Jalanan cuma beri nasihat kepadanya, tak perlulah buang duit untuk berhutang kepada barangan yang bukan keperluan.
Lagipun Merak Jalanan tengok, ke sana-sini dia lebih senang menaiki kereta berbanding bermotosikal.
Nak pergi ride dengan kawan-kawan pun rasanya jarang sekali.
Merak Jalanan ada satu lagi cerita mengenai seorang kenalan yang sanggup membayar ansuran cecah ribuan ringgit setiap bulan selepas membeli kereta baharu.
Sebabnya, dia tercabar dengan jirannya yang baru membeli kereta baharu itu juga.
Selepas enam bulan, Merak Jalanan tengok dia mula berubah sikap kepada kedekut.
Sentiasa berkira dan tidak lagi belanja rakan-rakan seperti dulu.
Kalau berbual pun, ceritanya lebih menjurus kepada masalah duit dan komitmen yang terpaksa ditanggungnya.
Kalau melepak di kedai mamak, dia akan cari helah supaya kawan-kawan yang belanja.
Akhirnya, kawan-kawan pun lari dan tak mahu melepak dengannya lagi.
Nasihat Merak Jalanan kepada semua, bersederhanalah berbelanja agar tidak terjerut dengan hutang.
Melihat kepada ketidaktentuan ekonomi global dengan didorong kadar faedah tinggi serta kelemahan ringgit, sekarang bukan masa sesuai untuk menambah hutang.