Utamakan adab sebelum ilmu

Iklan
ADAB disulami dengan ilmu pengetahuan akan membentuk sisi peribadi yang sangat hebat dan menjadi contoh teladan kepada orang lain.

Sinergi kedua-duanya berupaya membentuk sisi peribadi yang hebat dan menjadi contoh teladan kepada orang lain

DALAM sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Tiada yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat daripada keindahan akhlak. Dan ALLAH benci kepada orang yang keji mulut dan kelakuan." (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)

Benarlah, sebaik-baik perhiasan di dunia adalah akhlak mulia. Malangnya ramai orang pada hari ini berlumba-lumba menggali banyak ilmu hinggakan terlupa mempelajari adab hingga terhakis susilanya.

Iklan
Iklan

Tidak salah sebenarnya untuk mencapai pengetahuan tinggi tetapi usah sesekali lupa dengan budi bahasa dan pekerti yang molek.

Dalam Islam, kita sebenarnya diajar untuk mengutamakan adab, diikuti dengan ilmu. Malah, sesiapa yang memiliki kedua-duanya seiring, ia umpama satu bonus.

Iklan

Bahkan, kerajaan pada hari ini menggariskan adab menerusi elemen hormat sebagai satu kerangka daripada enam tonggak dasar dalam membangunkan Malaysia Madani.

Ironinya, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor baru-baru ini menegur sikap ahli Parlimen agar berbahas dengan cara yang mulia.

Iklan

Justeru, mengapa kita digalakkan untuk mendahulukan kesantunan tersebut sebelum mendalami ilmu? Benarkah akhlak penentu nasib kita di akhirat kelak?

Musibah tanpa adab

Menurut Ketua Program Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir, adab memainkan peranan utama sebelum menggali ilmu, sebagaimana digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat.

DR KHAIRUL ASYRAF

Ini kerana katanya, bukan semua orang yang berilmu itu beradab tetapi mereka yang berakhlak pasti mempunyai ilmu.

"Ilmu pada hari ini sudah terlalu banyak. Boleh didapati bermula dari prasekolah hinggalah ke institusi pengajian tinggi. Ramai yang berjaya menuntut ilmu tetapi tidak semuanya sempurna dari segi budi pekerti.

"Apabila bertemu khalayak, masyarakat tidak nampak di manakah nilai adab dan ilmu dari segi cara bermuamalah dengan orang tua, tutur kata, menerangkan sesuatu kepada orang yang tidak faham dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Lantaran itu, Khairul Asyraf berpandangan, bab akhlak tidak boleh dipandang ringan.

"Namun begitu, andai seseorang hanya sekadar berilmu tetapi tiada adab, ia akan jadi satu kekurangan atau musibah besar.

PELAJARILAH adab dulu, diikuti dengan ilmu agar kedua-duanya mampu membentuk karakter peribadi seseorang yang hebat serta mantap.

"Jadi, bagaimana dakwah kita hendak nampak hebat sekiranya gagal menawan hati mad'u (sasaran dakwah) dengan metod dakwah yang murni, sedangkan kita ada ilmu?

"Sebab itulah, Imam Malik Rahimahullah berpesan agar kita mengusahakan adab terlebih dahulu, barulah menyantuni ilmu selepasnya. Ini kerana bila seseorang itu ada kedua-duanya, orang akan seronok dengan kita," ujarnya.

Jikalau perkara itu dipinggirkan, Khairul Asyraf menjelaskan, ia menatijahkan dampak buruk kepada generasi akan datang yang memimpin negara dan dunia pada masa akan datang.

"Kalaulah mereka tiada adab, mana mungkin kelompok ini menjadi contoh teladan? Bagaimana mereka boleh mengembangkan idea yang ada dengan ilmu dimiliki?

"Semua itu akan menjadikan golongan berkenaan cepat melenting, rasa hendak marah dan sebagainya. Bayangkan andai akhlak yang dimiliki generasi hari ini sangat nipis, maka mereka pasti menguasai dunia dengan kadar tidak sepatutnya," ungkapnya.

Tepung vs garam

Tidak hairanlah, katanya, mengapa anak-anak pada hari ini mula kurang beradab dengan ibu bapa mereka.

"Ingatlah, guru pertama yang mengajar adab kepada anak-anak ialah ibu bapa. Sejak dilahirkan, kita diajar dengan budi pekerti begini dan begitu. Mereka bertambah kesusilaan apabila disulami dengan ilmu di sekolah.

IBU bapa merupakan 'guru' pertama yang mengajar adab dan akhlak kepada anaknya.

"Begitupun, andai orang tua lebih mementingkan pekerjaan dan terlalu banyak meletakkan nilai-nilai ilmu, maka nilai adab itu sendiri akan tercicir," katanya.

"Tepung itu satu bahan yang banyak kegunaan untuk kita buat kek atau kuih, manakala garam itu sekadar untuk menambah perasa kepada makanan tadi bagi melengkapkannya.

"Begitulah juga dengan kehidupan manusia. Jasad kita disulami dengan adab secara keseluruhannya, sementelah ilmu pula ada dalam diri kita.

"Apa pun, orang akan melihat karakter kita terlebih dahulu seperti keperibadian, tutur kata dan hubungan dengan masyarakat. Di situ orang akan lihat betapa indahnya Islam,” ungkapnya.

Dalam pada itu, pensyarah tersebut turut menitipkan pesanan agar sentiasa mengucapkan perkataan baik kepada orang lain termasuk jiran, kenalan atau individu yang lebih bawah daripada kita.

ADAB penting dalam semua aspek kehidupan termasuk menuntut ilmu, berinteraksi, bekerja dan berhubungan sosial.

Beliau mengingatkan kita supaya tidak memilih bulu iaitu menegur atau mengucapkan salam kepada orang dikenali sahaja.

"Ingatlah, antara salah satu tanda kiamat ialah manusia hanya memberi salam kepada kenalannya. Pada saya, ini seakan sudah menjadi trend pada hari ini yang mana ungkapan 'Assalamualaikum' tidak diucapkan kepada orang tak dikenali.

"Sesungguhnya, berkata perkara-perkara yang mulia memang sangat sukar pada dunia akhir zaman ini. Akhirnya ia akan beri kesan kepada keseluruhan akhlak dan adab kita kepada orang bukan Islam,” ujarnya.