ERIK ten Hag memaklumkan beliau diberikan amaran supaya tidak mengambil risiko menerima jawatan sebagai pengendali Manchester United, namun mengakui tidak dapat menolak keinginan untuk berada di Old Trafford.
Pengendali kelahiran Belanda itu yang meninggalkan Ajax untuk mengambil alih United pada 2022 menamatkan kemarau trofi selama enam tahun kelab itu musim lalu tetapi berada di bawah tekanan hebat dalam kempen keduanya musim ini.
United menewaskan Chelsea 2-1 di laman sendiri pada Khamis yang mengurangkan tekanan ke atas ten Hag, namun mereka juga tewas 10 daripada 22 perlawanan mereka musim ini dalam semua pertandingan.
Ten Hag menjelaskan bahawa dia dinasihatkan akan mengalami kesukaran untuk memulihkan nasib juara Inggeris 20 kali itu yang dibayangi kecemerlangan Manchester City untuk tempoh sedekad.
"Semua orang memberitahu saya 'anda tidak boleh berjaya dalam pekerjaan itu'.
"Mereka berkata ia adalah mustahil. Saya? Saya mahukan cabaran itu,” katanya.
United menewaskan Newcastle dalam perlawanan akhir Piala Liga pada Februari dan mengakhiri saingan liga di kedudukan ketiga musim lalu.
Tetapi musim ini mereka sudah terkeluar daripada Piala Liga, ketinggalan sembilan mata kepada pendahulu Liga Perdana, Arsenal dan berdepan penyingkiran memalukan pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Sejak Alex Ferguson bersara pada 2013, enam pengurus mencuba dan gagal membawa United kembali ke puncak bola sepak Inggeris iaitu David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick.
"Saya tahu ia tidak mudah, tetapi ia adalah kelab yang hebat dengan peminat yang hebat.
"Orang ramai suka Man Utd, atau mereka menentang Man Utd. Saya suka kelab seperti ini. Ajax adalah seperti ini,” katanya.
Everton keluar dari zon penyingkiran
Dalam perkembangan berasingan Everton meledak tiga gol dalam 11 minit terakhir perlawanan untuk menewaskan Newcastle United 3-0 di Goodison Park sekali gus keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.
Dwight McNeil, Abdoulaye Doucoure dan Beto menjaringkan gol buat The Toffees untuk meneruskan rentak positif mereka walaupun dikenakan pemotongan 10 mata oleh Liga Perdana kerana melanggar peraturan kewangan.
Kemenangan tersebut melonjakkan Everton satu mata di hadapan pasukan yang menghuni kedudukan ketiga terbawah liga.
"Musim ini, selain daripada dipotong 10 mata, kami telah berada dalam prestasi yang hebat,” kata pengendali Everton, Sean Dyche.
Satu-satunya kemenangan Everton di tempat sendiri dalam Liga Perdana sejak Mac adalah ketika menentang Bournemouth.
"Kami mempunyai beberapa bakat tetapi anda perlu memberikan segala-galanya dan terdapat kaitan itu dengan peminat kerana mereka melihat pasukan memberikan segala-galanya," kata Dyche.
Dalam pada itu, Newcastle tidak berada pada prestasi terbaik mereka walaupun sebelum ini dianggap sebagai pasukan pencabar selain beberapa keputusan memberangsangkan mengenepikan Paris Saint-Germain, Arsenal, Chelsea dan Manchester United di laman sendiri musim ini.
Tetapi anak buah Eddie Howe hanya menang sekali di tempat lawan sepanjang musim dalam saingan Liga Perdana.
Newcastle kekal di tempat ketujuh, empat mata di belakang pasukan empat teratas.
Mereka juga dibayangi krisis kecederaan, namun Howe berkata, pihaknya tidak boleh membiarkan keletihan menjadi alasan dengan jadual padat masih menanti sebelum penghujung tahun.
Newcastle akan berdepan AC Milan dalam pertembungan Liga Juara-Juara minggu depan untuk mengesahkan slot ke pusingan 16 terakhir dan menentang Chelsea pada suku akhir Piala Liga, di samping komitmen Liga Perdana mereka dalam tempoh perayaan yang sibuk.
"Kami tidak boleh melihatnya (kecederaan) sebagai alasan kerana kami mempunyai lebih banyak perlawanan untuk diharungi,” kata Howe.