SEBANYAK 109 bas membawa penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT), bakal memenuhi ruang parkir Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini sempena aksi final Piala Malaysia 2023 yang menemukan skuad Harimau Selatan itu dan Terengganu FC (TFC).
Menurut Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JFC), Mohd Fadzli Sapie, daripada jumlah itu, 36 bas berlepas dari pekarangan Stadium Larkin termasuk 71 bas melibatkan penyokong Boys Of Straits (BOS) dan lain-lain.
"Jumlah semua seramai 4,000 penyokong dan dari sini (Larkin) sahaja 600 orang. Kami yakin JDT menang, walaupun atas faktor padang yang tidak memuaskan.
"Ramalan kami 3-0, dan kami juga rasa perlawanan akan selesai dalam tempoh 90 minit," katanya pada sidang akhbar sempena pelepasan konvoi penyokong JDT di pekarangan Stadium Larkin, pagi Jumaat.
Sementara itu, seorang lagi penyokong, Kamariah A. Kadir, 48, meramalkan skuad Esteban Solari itu menang 2-1 pada aksi final, malam ini.
"Saya tidak pernah terlepas setiap kali aksi final sejak musim 2014 lalu dan kali ini saya tiba ke sini (Stadium Larkin) dalam 5.45 pagi dari Pontian.
"Saya datang awal atas semangat kesukanan dan jati diri untuk JDT," katanya.