PETALING JAYA - Pemergian kanak-kanak berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin meruntun jiwa jutaan rakyat Malaysia.
Perasaan sayu menyelubungi ramai, apatah lagi ibu dan bapanya yang saban hari memori mereka diulit kenangan bersama anak istimewa itu.
Selain ibu bapa arwah, pengasuh kepada Zayn Rayyan, Auni Afiqah Abas, mengakui kadang-kala terbungkam dengan apa yang berlaku.
Bagi Auni, kehilangan itu benar-benar perit untuk diterimanya.
"Saya berdiri di tengah-tengah blok R tu, saya jerit Zayn... Zayn sekuat hati.”
Itu yang dilakukannya sebaik turun sama-sama mencari anak istimewa itu.
Sekuat hati dia menjerit namun tidak juga bertemu dengan anak yang telah diasuhnya sejak setahun lepas itu.
Kini, hanya kenangan bersama arwah menjadi peneman hari-harinya yang akan saban hari merindui insan bernama Zayn Rayyan itu.
"Dia seorang yang lembut-selembutnya, macam bayi baru lahir. Dia tak pernah nak susahkan saya, susahkan sesiapa pun, termasuk mak dia.
"Dia datang rumah saya, masuk dalam, duduk, seperti budak normal. Sampai anak saya tarik tangan ajak main.
"Memang terasa kehilangan itu sangat perit sebab tak boleh terima kenyataan jadi macam ini,” katanya.
Menurut Auni, selepas ini dia pasti akan terbayang Zayn Rayyan di kerusi dan meja kegemarannya.
Dia akan teringat juga spageti goreng, bihun goreng dan ayam masak cili api kegemaran arwah.
Juga terbayang wajah arwah yang berdiri di jendela tatkala hujan, menanti kehadiran ibu untuk membawanya pulang ke rumah.
Bagi ibu mentua Auni Afiqah, Che Zaiton Abd Aziz pula, dia agak rapat dengan Zayn Rayyan malah membahasakan dirinya Umi dengan anak kecil itu.
Kini, tiada lagi anak asuhan yang selalu merebahkan kepala di ribanya.
"Dia akan duduk sebelah saya, baring atas riba saya. Itu memang tak pernah dibuat oleh anak asuhan lain tapi dia satu-satunya anak asuhan yang tinggalkan kesan kepada saya.
"Dia suka duduk macam itu, baring di paha saya. Dia diam saja, macam dalam dunia dia. Saya akan belai-belai kepala dia, tanya dia macam-macam,” ujarnya.
Sebaik jenazah arwah ditemui, Zaiton hilang kata-kata, seakan tidak percaya.
Namun, pedihnya dia rasa, sudah tentu lagi perit perlu ditanggung ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan dan kerana itu, dia berpesan kepada semua.
"Kita jaga perasaan ibu dan bapa Zayn juga. Tidak keluarkan apa-apa kenyataan.
"Serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan apa saja siasatan dan maklumat.
"Kita bukan di kalangan ahli keluarga, jangan buat apa-apa andaian dan buat sesuatu yang tidak sahih,” katanya.
Takziah kepada keluarga mangsa dan semoga Zayn Rayyan Abdul Matiin bahagia bersama Pencipta dan rakan-rakan yang lain di alam sana. - Awani