IPOH - Langkah untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat menjelang tahun 2027 bakal menjanjikan pembangunan yang seimbang kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat di bandar raya itu.
Demikian ditegaskan Ketua Eksekutif Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donut (SIBED), TPr Dr Zulqarnain Mohamad yang mana usaha itu menurut beliau disusuli dengan pelbagai program bagi memastikan matlamat tersebut tercapai.
Terbaharu katanya, satu memorandum telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan Centre for Planetary Health, Sunway University, dan Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk merealisasikan matlamat Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027, selaras dengan flagship ke-15 Pelan Perak Sejahtera 2030.
"Melalui kerjasama ini, kita akan berkongsi kepakaran dari Sunway University dalam bidang kesihatan, kelestarian alam sekitar, dan sosio-ekonomi, dengan pemantauan dari IDR untuk memastikan keselarasan dengan hasrat kerajaan negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030."
"Konsep ekonomi donat ini akan disesuaikan dengan konteks dan persekitaran unik bandar raya ini. Setakat ini, sebanyak 80 projek telah dikenal pasti pelaksanaannya secara berperingkat di Ipoh," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Dr Zulqarnain, teori ekonomi donat bukanlah tentang mencipta idea baharu, tetapi lebih kepada ekonomi kitaran yang menggalakkan pembangunan sedia ada dengan mengambil kira aspek kemanusiaan.
Katanya, sebagai bandar raya pertama di Asia yang mengaplikasikan teori tersebut, bandar raya Ipoh akan dinilai dari segi kesesuaian elemen dalam ekonomi donat secara menyeluruh sebelum dilaksanakan dengan program-program khusus yang mampu memperkukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Inisiatif ini berakar dari keinginan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin untuk melihat Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat mencapai kejayaan lebih awal sebelum tahun 2027. Oleh itu, SIBED akan terus menyelaraskan data yang ada serta bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan program-program yang telah dirancang,” ujarnya.
Dalam konteks global, konsep bandar ekonomi donat katanya telah dilaksanakan di beberapa bandar raya ternama seperti Amsterdam di Belanda, Brussels di Belgium, Berlin (Jerman), Melbourne dan Sydney (Australia, Oxford dan Birmingham masing-masing di United Kingdom.
Flagship ke-15 Pelan Perak Sejahtera 2030 ini mempromosikan ekonomi kitaran yang tidak hanya mengambil kira kelestarian alam sekitar, tetapi juga keadilan sosioekonomi, urus tadbir yang bak dan kesesuaian dengan konteks tempatan.