KUANTAN - Kerajaan Pahang dalam usaha mengatasi masalah kekurangan beras dengan meningkatkan pengeluaran padi di kawasan jelapang di Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan dan Rompin.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak menjelaskan dengan kelebihan dari segi kemudahan infrastruktur, kawasan jelapang dilihat mencapai pengeluaran hasil yang optimum.
Menurutnya, Program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) akan direalisasikan sebagai salah satu langkah penyelesaian kepada isu terbabit.
"Untuk jangka panjang, Kerajaan akan berusaha membangunkan tanah sawah terbiar yang ekonomik untuk dimajukan khususnya dari segi aspek pengairan dan saliran.
"Pembangunan paya atau tanah terbiar untuk tanaman padi memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan jadi Jabatan Pertanian diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan di luar jelapang manakala IADA memberi fokus kepada kawasan dalam jelapang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hassan Omar (PN- Lancang) pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Mohd Soffi memaklumkan projek berskala besar di bawah program terbabit akan melibatkan syarikat peneraju Jabatan Pertanian.
Katanya, pihak IADA Rompin bersama Pejabat Daerah dan Tanah Rompin mempergiat usaha mencari kawasan baru bagi tanaman padi dalam daerah tersebut.
Tambah Mohd Soffi, antara yang disyorkan adalah Paya Petoh dan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kedaik,
"Kajian tanah akan dijalankan terhadap kawasan tersebut dari segi kesesuaian tanah, hak milik dan keadaan semasa tempat yang disyorkan,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi penggunaan beras bagi seorang ialah sebanyak 80 kilogram setahun.
"Tiada data yang mengasingkan penggunaan beras putih tempatan dan beras putih import bagi rakyat di Pahang.
"Ini adalah kerana rakyat secara umumnya ramai yang tidak pasti sama ada beras yang dimakan itu adalah tempatan atau import kerana memilih mengikut brand bukan gred," jelasnya.