Permintaan tinggi, novel seram Buku Prima dicetak semula

Iklan
Pemegang kad ahli VIP karangkraf berpeluang untuk mendapatkan potongan harga sebanyak 25 peratus dan 15 peratus pembeli tanpa kad. Gambar kecil: Nurul Shahirah

SHAH ALAM - Permintaan tinggi mendorong Grup Buku Karangkraf (GBK) mencetak semula lapan novel seram keluaran Buku Prima khusus untuk Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF 2023).

Antaranya, Runcing I, Margasatwa, Atok, Anak Patung Nana, Janji Anabella, Pocong Balik Rumah, Kubur Bernyawa dan Pokok.

Iklan
Iklan

Eksekutif Pemasaran GBK, Nurul Shahirah Jasman berkata, kesemua buku itu merupakan antara karya terlaris dan sentiasa menjadi carian utama setiap kali pesta buku diadakan.

"Kepada peminat novel seram, saya menyarankan untuk anda memiliki salah satu daripada naskhah ini kerana ia memiliki jalan cerita yang menarik dan sukar dijangka.

Iklan

"Sempena SIBF 2023, kita ada menawarkan promosi istimewa iaitu potongan harga sebanyak 25 peratus bagi pemegang kad ahli VIP Karangkraf dan 15 peratus kepada pengunjung tanpa kad,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Lapan novel seram keluaran Buku Prima dicetak semula khusus untuk SIBF 2023 kerana permintaan tinggi daripada orang ramai.

SIBF 2023 julung kali dianjurkan tahun lalu adalah kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Iklan

Sementara itu, Nurul Shahirah memberitahu, Karangkraf turut mengadakan sesi beramah mesra bersama penulis buku Runcing I dan II iaitu Zharulnizam ZA pada Sabtu jam 2 petang di reruai Buku Karangkraf.

"Bukan itu sahaja, esok (Sabtu) merupakan hari kesembilan SIBF 2023, GBK akan mengadakan Majlis Pelancaran Festival Seram Buku Prima di pentas utama Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada jam 3 hingga 4 petang.

"Menariknya, kami akan memberikan 100 tiket percuma rumah hantu kepada pengunjung yang mengikuti majlis pelancaran itu.

"Mereka yang bertuah memperoleh tiket itu, boleh tebus kemasukan percuma sewaktu Festival Seram Buku Prima yang bakal diadakan pada 5 Januari hingga 7 Januari 2024,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa orang ramai boleh membuat pembayaran menggunakan insentif kewangan, eMadani yang diberikan oleh kerajaan di SIBF 2023.