Pemandu Bezza dikejar 28 MPV polis dijel sebulan, denda RM10,000

Iklan
Anbarasan (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat bagi menghadapi dua pertuduhan memandu secara melulu dan menghalang tugas polis, Selasa lalu.

PETALING JAYA - Seorang pemandu Perodua Bezza yang tular memandu secara melulu serta menghalang tugas polis kemudian dikejar 28 kereta unit peronda polis (MPV) Selasa lalu, dihukum penjara selama sebulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

B Anbarasan, 27, yang bekerja sebagai pemandu lori, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapa.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan memandu secara melulu, dia dihukum penjara selama sebulan, denda RM5,000 dan hilang kelayakan memandu selama lima tahun, sementara bagi kesalahan menghalang tugas polis, dia didenda dengan jumlah yang sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula tarikh jatuh hukum pada Jumaat dan sekiranya tertuduh gagal membayar kedua-dua denda itu, dia boleh dipenjara selama lapan bulan.

Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak itu didakwa memandu kereta tersebut dengan cara melulu, boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain, di Jalan Utara di sini, pada jam 1.30 pagi, 5 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menghalang penjawat awam, iaitu anggota polis, Koperal Mohd Faizul Sulong daripada menjalankan tagasnya, di lokasi, tarikh dan masa sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh dan isterinya, M Rishlani, 21, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, ada dalam milikan mereka senjata berbahaya iaitu satu pisau berwarna hitam, tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, pada tarikh dan masa sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Khailash Sharma.

Hakim, Faiz Dziyauddin membenarkan suami isteri itu diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Januari tahun depan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pihak polis menahan seorang lelaki dan wanita manakala dua lagi lelaki melarikan diri selepas anggota unit peronda polis (MPV) mengejar sebuah kereta Perodua Bezza dari Petaling Jaya ke Cyberjaya pada Isnin.

Video tular memaparkan aksi kereta peronda polis mengejar sebuah kereta Perodua Bezza dari Petaling Jaya hingga ke Cyberjaya.

Insiden yang tular di media sosial itu memaparkan kira-kira sembilan buah MPV mengejar kereta terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian kereta Perodua Bezza dinaiki empat individu itu dalam keadaan mencurigakan sebelum polis yang membuat rondaan cuba menahan mereka.

Bagaimanapun, suspek bertindak memecut kenderaan itu sebelum dikejar pihak polis.