ALOR GAJAH - Seorang pekerja warga Nepal maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar daging di sebuah kilang memproses makanan di Kawasan Perindustrian Londang, Masjid Tanah, dekat sini pagi tadi.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa Indra Prasad Bhattarai, 47, sedang membuat kerja membaik pulih pengisar tersebut dan butang ‘on’ mesin itu dihidupkan secara tiba-tiba.
"Kita menerima panggilan kira-kira jam 7.46 pagi dan tiba di kilang tersebut untuk operasi mengeluarkan mangsa sembilan minit kemudian bersama enam anggota dari balai Masjid Tanah.
"Mangsa mengalami beberapa kecederaan pada anggota badan selain pendarahan teruk di bahagian pinggang dan disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. - Bernama
Artikel Berkaitan