'Zayn Rayyan banyak habiskan masa di rumah'

Iklan
Koridor tempat anak-anak berkumpul dan bermain pada waktu petang. Gambar kecil: Abd Rashid, Shida

PETALING JAYA - Zayn Rayyan Abdul Matiin bukan kanak-kanak bermasalah dan kebanyakan masa hanya dihabiskan di rumah.

Jiran sebelah rumah mangsa, Abd Rashid Tatawi, 39, berkata, kanak-kanak autisme berusia 6 tahun itu hanya kelihatan ketika pergi dan balik dari sekolah yang sentiasa ditemani ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Zayn juga tidak bergaul bersama anak-anak jiran yang biasanya akan bermain di koridor tingkat tiga rumah mereka pada waktu petang.

Lokasi mayat Zayn ditemukan.

"Saya tak berapa kenal dengan keluarga mangsa kerana masing-masing sibuk bekerja dan hanya akan bersembang jika kebetulan bertembung.

Iklan

"Zayn bukan kanak-kanak yang suka kacau orang dan bukan jenis yang meragam, nak dengar suara dari dalam rumah pun tak ada. Pada saya dia bukan anak yang bermasalah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Abd Rashid berkata, kehilangan Zayn hanya diketahui sekitar jam 8.30 malam, Selasa sebaik dia baharu pulang berniaga dari Damansara.

Iklan

"Saya ada turut serta mencari mangsa di kawasan sekitar blok termasuk belukar (lokasi mayat ditemui) dari jam 8.30 malam hingga jam 1 pagi namun tidak jumpa sebarang petunjuk.

"Pada malam mayat Zayn ditemui pula, saya yang selesai berniaga sempat ke lokasi dan memapah bapanya yang pengsan," katanya.

Susulan kejadian itu katanya, dia bersama isteri lebih berwaspada dan turut membawa anak-anak pergi berniaga kerana khuatir meninggalkan enam anaknya berusia satu hingga 18 tahun bersendirian di rumah.

"Lepas kejadian, bohong la jika kata tak takut. Selagi suspek tidak ditangkap, selagi itu kita risau sebab tak tahu siapa pelakunya," katanya.

Seorang lagi jiran mangsa, Shida Rajali, 35, berkata, dia tidak sangka kes Zayn diklasifikasikan sebagai kes bunuh kerana menyangka ia hanya kes hilang biasa.

Keadaan belukar di belakang Blok R, Apartmen Idaman.

"Masa Zayn dilaporkan hilang, saya ada terserempak dengan mak mangsa di bawah blok seperti mencari sesuatu, tapi masa tu saya tak tahu yang Zayn hilang.

"Hanya tahu Zayn hilang apabila diberitahu suami. Ketika itu saya ingat hanya kes hilang biasa tapi tak sangka sampai membawa ke bunuh," katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, dia tidak berani untuk meninggalkan anaknya bersendirian di rumah.

"Biasa kalau hantar anak ke sekolah, saya akan tinggalkan dua anak yang lain sekejap di rumah kerana ada kala hanya berjalan kaki ke sekolah.

"Namun selepas kejadian, nak tinggal sepuluh minit anak di rumah pun tak berani. Lagi sanggup bawa semua asalkan sentiasa ada di depan mata," katanya.

Dia berharap pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Idaman dapat memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan ini untuk keselamatan penduduk.

"Saya dan suami juga bercadang untuk memasang CCTV di luar rumah kerana rumah kami terletak di tepi tangga, ramai orang akan gunakan tangga untuk turun naik, agak membimbangkan juga," katanya.