BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menyasarkan untuk mara ke separuh akhir pada penampilan sulung mereka dalam kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2023 di Hangzhou, China pertengahan bulan ini.
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berharap anak buahnya itu mampu memberikan persembahan maksimum dalam usaha melepasi peringkat kumpulan pada kejohanan penutup musim yang berlangsung dari 13 hingga 17 Disember ini di Pusat Ekspo Sukan Olimpik Hangzhou.
"Saya harap mereka boleh masuk semi-final dahulu. Usah fikir mahu jadi juara dahulu kerana jika terlalu banyak fikir, tidak boleh main nanti,” katanya pada sidang akhbar menjelang Jelajah Dunia Akhir 2023 pada Jumaat.
Bukan itu sahaja, Nova berkata, kejayaan mara ke separuh akhir dalam kejohanan itu penting dalam melonjakkan kedudukan mereka, sekali gus berpotensi mengesahkan tiket lebih awal ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Berdasarkan ranking mereka di Race to Paris, Tang Jie-Ee Wei berada di tempat kesembilan dengan 63,198 mata. Kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 yang bermula Mei lepas akan berakhir April depan.
Setiap negara hanya dibenarkan untuk mempunyai dua wakil di pentas Olimpik jika kedua-dua beregu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia.
Sementara itu, Nova optimis pasangan kesembilan dunia itu mampu memberi tentangan sengit kepada wakil tuan rumah yang merupakan pasangan nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dan gandingan kedua terbaik dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, sekiranya bertemu kelak.
Biarpun mereka tidak pernah mencapai sebarang kemenangan menentang kedua-dua pasangan itu, Nova percaya Tang Jie-Ee Wei boleh menamatkan badi kekalahan sekiranya memiliki keyakinan tinggi dalam gelanggang.
Lima lagi pasangan yang layak ke Jelajah Dunia Akhir tahun ini adalah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (China); Seo Seung Jae-Chae Yu Jung (Korea Selatan); Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand); Kim Won Ho-Jeong Ha Eun (Korea Selatan); dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong).
Majlis undian peringkat kumpulan dijadual berlangsung Isnin ini. Hanya dua pasangan terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir.
Kejohanan itu menawarkan wang hadiah terkumpul sebanyak AS$2.5 juta kepada para pemenang. - Bernama