SHAH ALAM - Pembinaan 2,300 unit rumah mampu milik di Bernam Jaya, Hulu Selangor oleh Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) mampu untuk merancakkan ekonomi setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek pembangunan rumah teres setingkat atas tanah seluas 191 ekar (77 hektar) dijangka bermula tahun depan itu bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
Menurutnya, penerokaan kawasan baharu sebagai contoh di kawasan Bernam Jaya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masa depan terutama di kawasan utara Selangor.
"Lebih-lebih lagi pembinaan Proton City bersebelahan Bernam Jaya yang kita percaya limpahannya boleh dinikmati penduduk Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Menteri Besar ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penjenamaan Identiti Korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Rahana Abdullah.
Sementara itu, Rahana berkata, kumpulan hartanah berkenaan juga bakal membangunkan 2,000 unit pangsapuri komersial di Petaling Jaya dengan kerjasama pemaju swasta.
Rahana berkata, beliau menjangka projek melibatkan tiga bangunan itu selesai dalam tempoh lapan tahun, dengan 60 peratus daripada unit tersebut terjual setakat ini sejak dimulakan pada tahun lalu.
"Projek di Bernam Jaya pula dijangka berjalan selama lima tahun dan ketika ini dalam proses kelulusan (kebenaran merancang). Insya-Allah akan dilancar selepas raya tahun depan.
"Kedua-dua projek ini akan melibatkan nilai pembangunan kasar RM1.5 bilion,” katanya.