PUTRAJAYA - Bilangan penganggur pada Oktober menurun kira-kira 0.5 peratus kepada 570,900 orang berbanding 573,700 orang pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam kenyataan berkaitan Statisik Tenaga Buruh Malaysia Oktober 2023 hari ini memaklumkan kadar pengangguran pada Oktober kekal pada 3.4 peratus seperti dicatatkan September lepas.
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Oktober, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.1 peratus daripada jumlah penganggur.
"Kategori ini turun sebanyak 0.4 peratus merekodkan 457,200 orang berbanding bulan sebelumnya iaitu 458,900 orang.
"Begitu juga mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif berkurang sebanyak 0.9 peratus atau 113,800 orang berbanding September yang mencatatkan 114,800 orang,” katanya.
Mohd Uzir berkata, pada Oktober, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 10.7 peratus atau 313,300 orang berbanding September yang mencatatkan sebanyak 10.6 peratus atau 310,100 orang.
"Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.6 peratus atau 439,600 orang berbanding 6.7 peratus atau 440,000 orang pada September," katanya.
Menurutnya, bagi bilangan luar tenaga buruh pula menurun sedikit iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang berbanding 7.24 juta orang pada bulan sebelumnya.
Tambahnya, komposisi terbesar bagi luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah atau tanggungjawab keluarga sebanyak 42.6 peratus dan kategori bersekolah atau latihan sebanyak 40.9 peratus.
Mengulas prestasi keseluruhan bagi Oktober, beliau berkata, pasaran buruh pada Oktober 2023 terus mengukuh berikutan aktiviti ekonomi semasa yang menggalakkan, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran semakin berkurangan.
Oleh itu, katanya, bilangan tenaga buruh berada pada trend meningkat pada Oktober 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan yang mencatatkan 16.97 juta orang berbanding 16.95 juta orang pada bulan sebelumnya.
"Kadar penyertaan tenaga buruh pada Oktober 2023 tidak berubah iaitu pada 70.1 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” katanya.
Seterusnya, beliau berkata, bahawa bilangan penduduk bekerja pada Oktober terus meningkat dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus yang mencatatkan 16.40 juta orang berbanding bulan sebelumnya iaitu 16.38 juta orang.
Mohd Uzir berkata, ekonomi Malaysia dilihat bersedia ke arah prospek ekonomi yang lebih baik pada masa hadapan, dengan keyakinan perniagaan yang meningkat dan mencerminkan perniagaan terus berkembang.
"Pertumbuhan tersebut disokong pasaran buruh yang semakin baik, permintaan domestik yang meningkat, peningkatan aktiviti pelancongan dan pelaksanaan projek infrastruktur, yang seterusnya akan meningkatkan peluang pekerjaan.
"Pasaran buruh negara dijangka terus berada dalam momentum pertumbuhan stabil pada bulan-bulan berikutnya, walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mungkin mencabar,” katanya. - Bernama