KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi sedang menyiasat dakwaan berlaku kebocoran data melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memberi masa kepada agensi-agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara tersebut.
"... kerana kadang-kadang maklumat yang dipaparkan dalam laman 'dark web', ia adalah maklumat lama yang telah 'dibungkus' semula dan dipersembahkan semula seolah-olah maklumat itu baharu.
"Tetapi saya akan dapatkan maklumat, dan insya-ALLAH pejabat saya akan keluarkan kenyataan kemudian," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada Jumaat.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang pengguna media sosial pada 5 Disember lalu mendakwa data peribadi daripada PERKESO dibocorkan di sebuah forum.
Antara data tersebut melibatkan nama penuh, nombor MyKad, jantina, alamat e-mel, tempat tinggal dan beberapa transaksi perbankan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memproses data diingatkan agar lebih berwaspada.
Beliau menambah, agensi-agensi berkenaan juga disaran melaksanakan ujian dengan syarikat keselamatan siber bertauliah bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam sistem keselamatan masing-masing.
Terdahulu, PERKESO dalam kenyataan memaklumkan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang pertubuhan tersebut diserang penggodam sejak Sabtu lalu.
Jelas PERKESO, pelan pengurusan krisis diaktifkan pada hari sama, dengan unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.
Peringkat awal modus operandi serangan siber itu dikenal pasti bertujuan melumpuhkan segenap infra PERKESO yang digunakan bagi pengoperasian seharian.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pula, Fahmi berkata, seramai 200,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari penganjuran yang bermula hari ini.
"Setakat ini saya difahamkan sejak 9 pagi hingga 12 tengah hari, seramai 16,000 telah hadir dan ini baru permulaan.
"Kalau kita lihat petang ini jumlah yang hadir juga agak ramai dan kita akan ada rehat pada jam 4 petang untuk bersiap sedia bagi perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam ini dan disambung balik pagi esok," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berharap rakyat dapat memanfaatkan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani khususnya untuk melihat sendiri kad laporan kerajaan, selain memanfaatkan kemudahan yang disediakan. - Awani